KOTA BHARU: Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan memfailkan notis bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya pada atau sebelum Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan semasa sesi pengurusan kes yang berlangsung hari ini di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Tuan Nik Habri Muhamad.

Menurut peguam pempetisyen, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, sesi notis bantahan itu akan difailkan oleh Mohd Faizi Che Abu dan Peguam Persekutuan (AGC), Tuan Mohammad Sallehuddin Md Ali.

Mohamed Baharudeen berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada mahkamah seramai 10 hingga 12 orang saksi akan dipanggil semasa sesi perbicaraan nanti.

"Pempetisyen akan memanggil saksi semasa sesi perbicaraan nanti manakala pihak responden (yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang) akan turut mengemukakan seramai lima orang saksi" katanya menerusi satu kenyataan kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, mahkamah mengambil maklum hal berkenaan, justeru, arahan mahkamah adalah seperti berikut ialah pendengaran bantahan awal ditetapkan pada 8 dan 9 Februari 2023  secara kehadiran fizikal.

"Pihak-pihak berkenaan diarahkan untuk memasukkan ringkasan hujahan bertulis pada atau sebelum 5 Februari depan manakala ringkasan hujahan balas (jika ada) selewatnya pada 7 Februari depan," jelas Mohamed Baharudeen.

Perbicaraan dijangka bermula pada Mac hingga Jun depan yang akan didengar oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.

Sebelum ini wakil kepada calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah menfailkan satu petisyen mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, pada 3 Januari lepas.

Petisyen berkenaan difailkan oleh wakil calon, Mohd Azmi Mahmood.

Dalam petisyen berkenaan, wakil calon melalui barisan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen menamakan Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim; Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Petisyen berkenaan antara lain meminta supaya keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan pihak SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan.

Ini kerana, menurut wakil calon berkenaan, antara lain mendakwa berlaku politik wang atau pembahagian wang kepada pengundi dan beberapa peti undi dari Pusat Daerah Mengundi tidak dikira selain kertas undi yang tidak dikembalikan.

Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, apabila beliau tewas mengejut kepada calon PN, Mohd Azizi Abu Naim dalam PRU15, pada November lalu.
Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala, Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.