NATIONAL
PETRA Skuad: Projek solar MBKT jadi contoh nasional, jimat lebih RM200,000 setahun

Fadillah (dua, kiri) meninjau pemasangan sistem solar di ruang parkir berbumbung Menara MBKT sempena siri jelajah PETRA Skuad Zon Timur. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Kerajaan menggalakkan lebih banyak agensi awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan pemasangan sistem solar, selaras dengan usaha mempercepat agenda tenaga boleh baharu negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, kejayaan pelaksanaan sistem solar fotovoltaik (PV) di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuktikan potensi besar inisiatif ini dalam menjimatkan kos operasi dan mengurangkan pelepasan karbon.
“Sudah pasti ini menjadi contoh. Dan diharapkan PBT lain dan semua badan kerajaan lain boleh mengambil contoh ini, bukan sahaja untuk kesejahteraan pekerja mereka, tetapi juga menjimatkan perbelanjaan dan yang paling penting, menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon negara kita,” katanya.
Menara MBKT kini menjadi antara bangunan PBT terbesar yang dipasang sistem solar di bawah inisiatif Net Energy Metering (NEM) GoMEN, dengan jumlah kapasiti 807 kWp merangkumi 197 kWp di bumbung bangunan dan 610 kWp di ruang parkir berbumbung.Sistem tersebut mula beroperasi sepenuhnya pada 2 Jan 2024, dan dijangka mampu menjana 1.147 MWj - setahun, dengan penjimatan bil elektrik lebih RM200,000 setahun.
“Di atas bumbung itu terdapat solar dan ia dapat memberi satu kemudahan kepada rakyat dari segi parkir berbumbung, dan keduanya penjimatan tenaga. Untuk tempoh 25 tahun, sudah tentu pulangan dapat dihasilkan,” tambah beliau.
Fasiliti ini turut menggunakan kaedah Power Purchase Agreement (PPA), iaitu model pembiayaan tanpa kos permulaan oleh agensi iaitu pendekatan yang disifatkan berkesan dan sesuai untuk diperluas kepada lebih banyak premis kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah memaklumkan bahawa PETRA Skuad Zon Timur akan diteruskan ke Kemaman, Pahang untuk meninjau projek tenaga biogas yang menggunakan sisa kelapa sawit sebagai sumber penjanaan elektrik.
“Sebenarnya PETRA Skuad ini adalah untuk membawa kepimpinan tertinggi kementerian ke lapangan, menilai kembali dasar yang kita telah rangkakan, bagaimana kita hendak menambah baik perancangan supaya benar-benar beri manfaat kepada rakyat dan negara,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami