KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menawarkan 13 blok eksplorasi luar pantai di Malaysia semasa pelancaran Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021 pada Jumaat depan (26 Februari).

Syarikat petroleum nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia termasuk enam lapangan ditemui untuk memberi galakan kepada pelabur menjalankan aktiviti eksplorasi lebih meluas dalam blok-blok tersebut.

MBR tahun ini juga menawar empat blok laut dalam berdekatan dengan pantai Sarawak dan Sabah yang menyaksikan penemuan eksplorasi utama beberapa tahun kebelakangan ini.

Petronas berkata pelancaran MBR 2021 itu akan diadakan secara maya di Kuala Lumpur dan penstriman secara langsung ke tiga pasaran berbeza iaitu Amerika Utara, United Kingdom dan Eropah serta Asia Pasifik.

MBR 2021 itu yang bertemakan 'Grow your Energy Portfolio with Us' (Kembangkan Portfolio Tenaga Anda Bersama Kami) disasarkan untuk menarik pelabur dengan keupayaan unik bagi memanfaatkan potensi penuh sumber hidrokarbon di Malaysia.

Naib Presiden Kanan Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia Mohamed Firouz Asnan berkata MBR 2021 akan menampilkan peningkatan ketara yang termasuk bahagian blok besar ditambah dengan pilihan pembidaan fleksibel dan kos entri rendah.

"Kami juga akan menawarkan terma fiskal yang agak baharu untuk diterapkan dalam kontrak perkongsian pengeluaran seperti Keuntungan Dipertingkat bagi blok air cetek, Aset Hayat Akhir dan Aset Lapangan Kecil yang bertujuan untuk dipadankan dengan risiko dan ganjaran pelaburan dengan jenis aset yang ada.

"Terma-terma ini dirumus berdasarkan kepada maklum balas daripada pemain industri, mengambil kira keadaan pasaran, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab minyak dan gas di pasaran Asia Tenggara yang sedang berkembang pesat," katanya.

Selain terma fiskal yang ditambah baik, Malaysia juga menawarkan sambungan rangkaian yang baik menerusi prasarana bertaraf dunia yang memudahkan penjanaan keuntungan daripada aset, kata Mohamed Firouz.

MBR adalah acara bidaan tahunan yang dianjurkan Petronas, menawarkan kepada pelabur berpotensi pelbagai peluang terdiri daripada blok eksplorasi, sumber ditemui hinggalah kepada aset hayat akhir serta peluang kajian untuk mengembangkan portfolio tenaga mereka dan mewujudkan nilai.

Meskipun MBR tahun ini menumpukan kepada blok eksplorasi, peluang bagi aset hayat akhir dan lapangan kecil disediakan sepanjang tahun.

Petronas berkata selain mengeluarkan dan menguruskan perancangan petroleum di Malaysia, ia juga memainkan peranannya sebagai pembentuk industri minyak dan gas negara dan penyokong pelaburan dengan mengelola aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

Maklumat lebih lanjut mengenai MBR itu boleh didapatkan di www.petronas.com/mpm/.

-- BERNAMA