Kerajaan Negeri Sarawak hari ini menerima bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum RM2,956,671,407.36 daripada Petroleum Nasional Berhad (Petronas).

Cek disampaikan Pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Jumlah berkenaan adalah SST bagi tahun 2019 sementara bayaran bagi SST untuk 2020 akan dibayar apabila penilaian dilakukan berdasarkan jumlah sebenar produk petroleum.

"SST untuk 2020 akan dibayar apabila penilaian dilakukan berdasarkan jumlah sebenar produk petroleum seperti minyak mentah, urea, kondensat dan petroleum cecair yang dijual dan nilai jualan produk-produk ini," katanya pada sidang media sempena majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pembayaran SST oleh Petronas dan anak-anak syarikatnya itu adalah hasil dari penyelesaian yang dicapai antara Petronas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Ia berikutan tindakan Petronas menarik balik rayuan semakan kehakimannya ke Mahkamah Rayuan, sekaligus mengiktiraf kuasa Perlembagaan Negeri untuk mengenakan cukai.

“Susulan penyelesaian prosiding itu, Petronas dan anak syarikatnya kini dianggap sebagai pembayar cukai dan mengemukakan pulangan mereka kepada Komptroler SST," ujarnya.

Abang Johari pada masa sama turut menyampaikan penghargaan kepada syarikat minyak dan gas lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina and Sapura OMV yang telah membuat pembayaran awal serta menyelesaikan cukai kepada negeri ini yang berjumlah RM1.38 bilion keseluruhan.

Jelasnya pendapatan baharu Sarawak ini akan disalurkan kepada projek-projek pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri itu.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak mengenakan SST lima peratus terhadap produk petroleum seperti termaktub dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 bermula 1 Januari 2019.

Petronas bagaimanapun enggan membayar atas alasan sebagai tidak berperlembagaan.
Ia disusuli langkah Kerajaan Sarawak mengambil tindakan undang-undang.

Pada 13 Mac Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan SST terhadap produk petroleum.

Petronas kemudiannya memfailkan rayuan, namun Kerajaan Sarawak dan Petronas kemudiannya mencapai persetujuan pada Mei 2020 untuk kedua-dua pihak menarik balik tindakan undang-undang.