MALAYSIA
PETRONAS kini lebih terdedah kepada tekanan politik - Yazid Othman

PETRONAS dikatakan kini paling terdedah kepada tekanan politik, susulan tuntutan autonomi negeri dan kebergantungan kerajaan pada dividen. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: PETRONAS kini berada dalam kedudukan paling terdedah kepada tekanan politik dalam sejarahnya, menurut ahli Majlis Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Yazid Othman.
Ringkasan AI
- Yazid Othman beri amaran bahawa perubahan hubungan kerajaan pusat dan negeri sejak 2018 menjadikan PETRONAS paling terdedah kepada tekanan politik dalam sejarahnya.
- Penubuhan PETROS dan tuntutan Sarawak terhadap kawalan sumber boleh kurangkan dividen PETRONAS kepada kerajaan pusat, sekali gus jejaskan kewangan negara.
- Perdana Menteri perlu imbang tuntutan GPS dengan keperluan fiskal negara, kerana kehilangan sokongan Sarawak boleh gugat kestabilan kerajaan.
Beliau memberi amaran bahawa perubahan dalam hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 2018 telah menjadikan kedudukan syarikat minyak nasional itu semakin rapuh.
Menurut Yazid, ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang stabil dan dominan selama enam dekad, PETRONAS berfungsi sebagai institusi nasional yang kukuh.
Hasil minyak dari negeri-negeri pengeluar seperti Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan dapat dikumpulkan dan diagihkan semula melalui dividen serta perbelanjaan pembangunan.
“Kerajaan pusat ketika itu berada dalam kedudukan yang kuat. UMNO menjadi teras gabungan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) turut bersama, dan wujud agenda nasional yang jelas. Tiada pihak yang melangkaui batas,” katanya dalam satu temu bual bersama Free Malaysia Today.
Namun, Yazid berkata kestabilan itu mula berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila blok Sarawak, kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS), keluar daripada BN dan mula menuntut lebih banyak autonomi, termasuk menubuhkan syarikat minyak milik negeri, Petroleum Sarawak Bhd (PETROS).
“Persoalan mula timbul - adakah ini agenda Sarawak atau agenda Malaysia? Jika Sarawak mengambil lebih, negeri lain seperti Sabah mungkin akan ikut. Ini akan mengurangkan jumlah yang boleh disalurkan PETRONAS kepada kerajaan pusat,” jelasnya.
GPS ditubuhkan pada Jun 2018 oleh empat bekas parti komponen BN di Sarawak - PBB, SUPP, PRS dan PDP - selepas kekalahan BN dalam PRU14 yang menyaksikan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan.
Selepas PRU15, GPS muncul sebagai ‘kingmaker’ apabila tiada gabungan memperoleh majoriti jelas, menjadikan 23 kerusi Parlimen GPS penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yazid berkata Anwar kini berdepan cabaran lebih besar berbanding perdana menteri BN terdahulu kerana kerajaan perpaduan bergantung kepada sokongan parti-parti dari Sarawak.
“Kerajaan kini tersepit antara tuntutan Sarawak yang mahu lebih kawalan ke atas sumbernya dan keperluan Putrajaya terhadap dividen PETRONAS untuk menstabilkan kewangan negara,” katanya.
“Jika blok Sarawak menarik diri, kerajaan boleh tumbang. Tetapi perdana menteri tidak boleh membiarkan dirinya dibuli dan mesti sentiasa mengutamakan kepentingan negara.”
“Jika dividen PETRONAS berkurang, bagaimana mahu bayar gaji penjawat awam, subsidi dan projek pembangunan? Dari mana mahu cari berbilion ringgit yang hilang itu?” soal Yazid.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami