KUALA LUMPUR: Petronas telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) merangkumi tiga kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang ditawarkan menerusi Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022.

MBR merupakan acara bidaan tahunan yang menawarkan pelbagai peluang huluan kepada pelabur berpotensi dan ini termasuk blok cari gali, DRO serta aset hayat lewat di sekitar Malaysia.

"Selain itu, Kluster Meranti di luar pesisir Semenanjung Malaysia, dianugerahkan kepada Ping Petroleum yang menjalin kerjasama dengan Duta Marine Sdn Bhd," kata syarikat minyak dan gas negara dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketiga-tiga PSC itu dianugerahkan di bawah terma aset lapangan kecil (SFA) yang diperkenalkan pada 2020.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Mohamed Firouz Asnan berkata sejajar dengan tanggungjawab MPM untuk memaksimumkan nilai jangka panjang sumber minyak dan gas Malaysia, DRO itu dilihat sebagai mencabar dan melibatkan pelabur susulan pengenalan terma-terma SFA PSC.

"Kami mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan penyertaan Ping Petroleum dalam industri huluan Malaysia dan berharap syarikat ini dapat mengulangi kejayaannya di luar negara dalam usaha menjana keuntungan daripada aset lapangan kecil di perairan cetek negara ini.

"Pemeteraian tiga PSC itu hanya membuktikan lagi tarikan Malaysia sebagai pilihan bagi pelabur yang berhasrat memanfaatkan peluang tenaga kerana kami sentiasa memberi reaksi positif terhadap maklum balas mereka," katanya dalam kenyataan itu.

Petronas turut mengalu-alukan kehadiran pertama Dialog Resources Sdn Bhd (Dialog Resources) sebagai pengendali manakala PSEP dan Duta Marine terus mengembangkan portfolio masing-masing di Malaysia.

Dalam minggu-minggu akan datang, Petronas akan turut memeterai PSC baharu dengan pembida yang memenangi MBR 2022 bagi peluang cari gali tersebut.

Sementara itu, Dialog Group Bhd (Dialog) memaklumkan Bursa Malaysia mengenai unitnya, Dialog Resources yang memeterai PSC dengan Petronas dan PSEP bagi Kluster Baram Junior.

"Strategi Dialog adalah untuk mengembangkan aset huluan selain terus membangunkan keupayaan tersebut dalam aktiviti minyak dan gas. Ini termasuk pembangunan lapangan baharu serta pembangunan semula medan minyak dan gas matang.

"Langkah ini dijangka dapat mewujudkan platform memberangsangkan bagi penjanaan sumber mampan jangka panjang daripada pengeluaran minyak dan gas," katanya.

-- BERNAMA