NATIONAL
Petugas MPD didakwa guna kedudukan beri tender kepada syarikat ahli keluarga, rakan

Seorang petugas Majlis Perbandaran Dungun didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memberi tender kerja pembersihan kepada syarikat milik ahli keluarga dan rakannya. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang petugas Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memberi tender kerja-kerja pembersihan kepada syarikat milik ahli keluarga dan rakannya, membabitkan nilai suapan hampir RM5 juta.
Ringkasan AI
- Mohammad Hanif Ahmad, seorang petugas MPD, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menganugerahkan kontrak kepada syarikat milik ahli keluarga dan rakannya.
- Mohammad Hanif didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tinggi jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan Mohammad Hanif diikat jamin RM18,000 dan Maimunah RM10,000 dengan syarat tambahan. Kes mereka akan disebut semula pada 12 Jun.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, Mohammad Hanif yang ketika itu berkhidmat sebagai penolong juruukur bahan di MPD telah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa Urus Setia Sebut Harga (Bekalan dan Perkhidmatan) - Jawatankuasa Kewangan, dengan mengesyorkan tiga syarikat berbeza yang dimiliki bapanya, abang dan sekutunya untuk dianugerahkan kontrak pekerjaan pembersihan awam dan kerja-kerja berkaitan selama dua tahun, masing-masing bernilai RM1.2 juta, RM1.21 juta, RM1.45 juta dan RM1.13 juta.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di MPD antara 16 Dis 2018 dan 9 Mac 2021 mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohammad Hanif diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan untuk tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sementara itu, isteri Mohammad Hanif, Maimunah Syahbudin, 47, turut mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Mengikut semua pertuduhan, wanita itu didakwa dengan secara tidak jujur telah menggunakan satu dokumen yang dia ketahui palsu sebagai tulen iaitu sijil akuan pendaftaran syarikat dan penyata akaun membabitkan tiga syarikat berbeza antara 17 Dis 2020 dan 10 Jan 2021.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mohd Azhar membenarkan Maimunah diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat-syarat seperti yang dikenakan ke atas suaminya serta 12 Jun untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ezuain Farhana Ahmad manakala pasangan berkenaan diwakili peguam Ghazali Ismail.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami