MALAYSIA

Pezeshkian seru perpaduan Islam, diplomasi aktif untuk hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Bernama 06/08/2025 | 22:00 MYT
Pezeshkian (gambar) menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Iran terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menggesa negara Islam lain supaya mengambil pendirian yang lebih tegas. - Gambar fail/REUTERS
TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian menggesa negara-negara Islam bertindak secara kolektif dan tegas melalui diplomasi aktif bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza, sambil menyifatkan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh mana-mana insan yang berfikiran terbuka, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

"Malapetaka yang dilakukan oleh rejim Zionis di Gaza tidak dapat diterima oleh mana-mana insan yang berfikiran terbuka," kata Pezeshkian dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

"Saya berharap negara-negara Islam akan bertindak dengan kesepakatan, penuh tanggungjawab, dan menggunakan diplomasi aktif serta tekanan diplomatik untuk menghalang jenayah ini daripada berterusan."

Pezeshkian turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Iran terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menggesa negara Islam lain supaya mengambil pendirian yang lebih tegas.

"Republik Islam Iran sentiasa mempertahankan hak rakyat Palestin yang tertindas, dan negara-negara Islam lain juga perlu mengambil pendirian yang lebih kukuh dan aktif dalam menyokong rakyat Palestin dan Gaza. Usaha kolektif untuk menentang jenayah rejim Zionis di Gaza akan lebih memberikan kesan."

Merujuk kepada perang 12 hari Israel terhadap Iran, beliau berkata: "Dosa kami ialah kerana mempertahankan rakyat Palestin yang tertindas dan hak asasi mereka. Kami membenci kezaliman yang mereka deritai. Kuasa-kuasa angkuh dunia menganggap pendirian ini sebagai satu jenayah dan terus memberi tekanan kepada kami."

Pezeshkian turut menyatakan harapan agar hubungan dua hala antara Iran dan Malaysia dapat diperkukuh serta menyeru kerjasama diperluas dalam semua bidang.

Dalam perbualan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam kekejaman Israel di Gaza dan menegaskan respons tegas Kerajaan Malaysia terhadap jenayah itu.

Beliau berkata Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan keras mengecam jenayah di Gaza dan sedang melaksanakan usaha diplomatik secara menyeluruh bagi menghentikan genosid itu.

Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Iran dan Pezeshkian mengundang Anwar untuk melawat Tehran.

-- BERNAMA



#Masoud Pezeshkian #Iran #Gaza #Israel