MALAYSIA
Komitmen Malaysia perjuang isu Palestin konsisten - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dihubungi Presiden Iran Masoud Pezeshkian. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Komitmen Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin adalah konsisten, bukan sahaja menerusi kenyataan tegas di pentas antarabangsa malah dengan menggerakkan kerjasama bersama pemimpin negara serantau dan global.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen konsisten Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin melalui kerjasama diplomatik serantau dan global.
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menghargai pendirian tegas Malaysia dan menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Tehran.
- Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat pada 2024 dengan nilai dagangan RM2.6 bilion.
"Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata menerusi panggilan telefon itu juga, beliau dan Pezeshkian turut berbicara mengenai hubungan dua hala Malaysia-Iran, dan senada untuk terus memperkukuh persahabatan khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
"Presiden Pezeshkian turut memanjangkan jemputan rasmi untuk saya mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat dan saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara," katanya.
Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion, peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.
Pada 2023, Malaysia adalah rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami