KUALA LANGAT: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai menunggu lori sayur sebaik tiba di negara ini diberkas ketika bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Tanjung Sepat di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita.

"Kesemua warga asing diberkas berumur antara 15 hingga 63 tahun itu dipercayai menggunakan bot untuk memasuki negara ini.

"PATI ini bersembunyi di kawasan semak berhampiran dipercayai sedang menunggu kenderaan e-hailing serta lori sayur untuk datang mengambil mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati kesemua warga asing ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

"Siasatan mendapati kesemua warga asing ini dikesan masuk menerusi khidmat ejen yang berbeza dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM4,000.

"Kesemua warga asing ini dipercayai menggunakan bot melalui laluan laut untuk masuk ke negara ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan selanjutnya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian