PASIR MAS:Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.2 juta di sempadan Malaysia-Thailand dalam tempoh 29 hari penugasan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Supt Azhari Nusi berkata nilai rampasan itu diperolehi sepanjang tempoh itu di sempadan negara menerusi Op Benteng COVID-19 bermula 16 Dis lalu.

"Batalion 7 dengan bantuan Batalion 9 telah berjaya mengesan 77 kes, 67 tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM4.2 juta melibatkan rampasan haiwan ternakan, barangan kontraban, barangan kosmetik, ayam beku, pelbagai jenis pakaian, dadah dan ketum.

"Kes paling tinggi melibatkan kes Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) iaitu melibatkan rampasan pelbagai kenderaan yang bernilai RM2.1 juta," katanya pada sidang media di Pusat Media Markas Taktikal Lubok Setol, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Beliau berkata kes terbaru dikesan semalam, pihaknya merampas 1,250 liter minyak petrol bernilai RM22,300 yang dipercayai untuk diseludup ke negara Thailand dalam dua tangkapan berasingan.

"Kes pertama pihak kami menahan suspek berusia 31 tahun berdekatan sebuah kedai makan di Rantau Panjang kira-kira jam 5 petang apabila sepasukan anggota kami bersama Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pasukan Polis Marin melakukan rondaan.

"Hasil siasatan terhadap kenderaan yang dipandu oleh suspek telah menemukan 625 liter minyak petrol yang diletakkan dalam 25 tong," katanya.

Beliau berkata tangkapan kedua dilakukan di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang selepas 15 minit tangkapan kes pertama dengan menahan suspek berumur 29 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga.

"Sebelum suspek ditahan, suspek terlibat kemalangan apabila memecut kenderaannya selepas menyedari kehadiran pihak kami dan pihak kami turut menemui 625 liter minyak petrol yang diletakkan didalam 25 tong plastik.

"Suspek juga mempunyai dua rekod lampau iaitu dibawah Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Mirgran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Katanya, kedua suspek adaah warga tempatan dan barangan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kedua-dua suspek didapati memperolehi bekalan minyak petrol itu di kawasan Perindustrian Pasir Mas, dan akan menyeludupnya ke negara jiran melalui pengkalan haram Mayat berdekatan Kampung Kubang Rambutan," katanya.

-- BERNAMA