MALAYSIA
PGA tumpas sindiket e-sisa di Segamat, nilai rampasan RM190 juta

Salehin berkata menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada 16 Jun lepas bersama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Segamat, pihaknya mendapati sindiket berkenaan aktif sejak setahun lepas. - Gambar Batalion 5 PGA
SEGAMAT: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Batu Anam, Buloh Kasap, di sini dengan nilai rampasan RM190 juta.
Pegawai Pemerintah Supt Salehin Sulaiman berkata menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada 16 Jun lepas bersama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Segamat, pihaknya mendapati sindiket berkenaan aktif sejak setahun lepas.
Beliau berkata dalam operasi yang dikenali sebagai Op Hazard 2.0 itu seramai 56 individu ditahan termasuk dua warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki yang bertindak sebagai pemandu lori dan seorang wanita yang merupakan kerani di premis itu.
"Turut dirampas sisa elektronik seberat kira-kira 5,920 tan, plastik pelbagai jenis 9.45 tan, besi 1,031 tan, 23 unit trak angkat-susun, 42 mesin serta sebuah lori treler dengan nilai rampasan RM190,715,900."Tangkapan dan rampasan ini berjaya membanteras satu rangkaian sindiket pemprosesan barang lusuh dan e-sisa di sekitar daerah Segamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Batalion 5 PGA menahan 25 pendatang asing tanpa izin dalam satu serbuan di kebun sawit di Ladang Tumbuk, Selangor pada 14 April lepas pada kira-kira 6.30 pagi.
Salehin berkata tangkapan melibatkan 16 lelaki dan sembilan wanita yang dipercayai baru tiba melalui jalan laut tidak diwartakan selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami