Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Wilson Lau Hoi Keong berharap gangguan bekalan air di flat PPR Pudu Ulu, Cheras dapat diselesaikan sepenuhnya bagi memudahkan penduduk
menjalankan aktiviti harian.

Beliau berkata walaupun ada rumah yang telah mendapat bekalan air seperti sedia kala sejak 10 pagi semalam, penyediaan sekurang-kurangnya satu lori air diperlukan untuk waktu kecemasan.

"Kita harus ambil langkah berjaga-jaga sekiranya gangguan bekalan air berlaku lagi kerana kita tidak mahu penduduk terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan perumahan berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata persatuan penduduk di situ juga memberi kerjasama baik dengan mengosongkan tempat letak kenderaan di kawasan flat untuk memudahkan laluan keluar masuk lori air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Semalam, Syabas mendakwa kelewatan kerajaan Selangor melaksanakan pembangunan sistem pengepaman tambahan di rumah pam Wangsa Maju di sini, menjadi punca kepada masalah ketiadaan air yang menjejaskan lebih setengah juta penduduk ibu kota sejak seminggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan berkata cadangan untuk membina sistem itu dikemukakan sejak 2009 dan pada Mac 2012, kerajaan persekutuan meluluskan pelan pembangunan serta pinjaman untuk projek itu dibangunkan oleh Kerajaan Selangor.