KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pada Isnin meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam syarie di seluruh negara beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Presiden PGSM Musa Awang berkata ini kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) tetapi turut meliputi keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi membabitkan harta, perebutan hak jagaan serta lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan lain-lain.

"Menurut statistik, terdapat peningkatan luar biasa dalam kes perceraian semasa PKP.

"Apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya individu terlibat dapat merujuk permasalahan mereka kepada Mahkamah Syariah atau peguam syarie, sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.

"Rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya agar tidak timbul rentetan masalah lain," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh pelaksanaan PKP meningkat dengan ketara dan memerlukan intervensi serta kerjasama pelbagai pihak termasuk langkah membenarkan Mahkamah Syariah seluruh negara dan firma peguam syarie beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Musa berkata operasi Mahkamah Syariah tidak semestinya berjalan secara fizikal sepenuhnya kerana ia juga boleh dibuat secara dalam talian tanpa melibatkan perjumpaan fizikal.

Beliau berkata peguam syarie juga boleh berurusan dengan Mahkamah Syariah secara dalam talian untuk prosiding sebutan atau pendengaran kes tertentu.

"Sekiranya operasi firma peguam syarie tidak dibenarkan, risiko untuk pemberhentian pekerja atau menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan adalah tinggi kerana seorang majikan tidak mampu menanggung bayaran gaji disebabkan tiada pendapatan diperoleh sepanjang tempoh PKP.

"Sebagai sebuah persatuan yang menaungi lebih 4,500 peguam syarie di negara ini, kami amat prihatin dengan keadaan yang menimpa ahli persatuan dan keseluruhan peguam syarie di negara ini termasuk rungutan masyarakat awam berhubung penangguhan prosiding kes," katanya.

PKP 3.0 dilanjutkan selama dua minggu lagi yang berkuat kuasa dari 15 hingga 28 Jun susulan peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

-- BERNAMA