Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan sokongan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri, ujar Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman.

Ujarnya, kenyataan Abdul Hadi yang menolak konsensus Pakatan Harapan tidak mendatangkan sebarang kesan langsung kepada PH.

"Kenyataan yang berbaur angkuh dan lucu ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh presiden sebuah parti yang tiada kepentingan dalam gabungan parti-parti kerajaan.

"Beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan parti lain sebaliknya beliau perlu menjelaskan kepada akar umbi Pas mengapa beliau memilih untuk mengangkat semula UMNO yang sekian lamanya dianggap sebagai musuh ketat Pas dan perosak negara.

"Kelihatan seperti agenda Pas kini adalah menjadi kuda tunggangan untuk membantu UMNO mengangkat semula Najib dan Rosmah kembali berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata ramai ahli Pas kini buntu dengan arah perjuangan baru parti itu untuk menjadi 'kuda tunggangan' UMNO.

"Anwar Ibrahim tetap akan diangkat sebagai Perdana Menteri kerana Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan yang berpegang kepada prinsip dan janji-janji.

"Tambahan lagi YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad juga telah menyatakan komitmennya terhadap transisi jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim," ujarnya lagi.

Justeru beliau menyarankan Abdul Hadi agar tidak membuang masa dengan urusan parti lain, sebaliknya membuktikan bahawa Pas bukanlah kuda tunggangan UMNO.