Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan beliau tidak berniat menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sepertimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada Rabu.

Katanya, laporan Utusan Malaysia itu dibuat berdasarkan kepada kefahaman penulisnya yang tidak mendapatkan penjelasan daripada beliau.

Jelas Phahrolrazi, laporan akhbar itu memetik wawancara beliau dengan Astro Awani dan hanya menyiarkan beberapa petikan yang seolah-olah menggambarkan Azizan seperti sebuah kereta lama.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, beliau tidak berniat menyindir sesiapa apatah lagi Azizan sebaliknya analogi yang beliau berikan itu adalah untuk memberikan gambaran bahawa pergerakan parti harus bergerak pantas untuk bersaing dalam senario politik semasa.

"Dalam konteks sekarang, seseorang menteri besar atau dalam hendak menjalankan pentadbiran sesebuah negeri ini macam kita di lebuh raya. Contohnya, kita perlukan sebuah kenderaan yang speed dia tinggi, decision kena buat cepat, keupayaan kena baik … jadi banyak perkara," katanya.

"Kadang-kadang kenderaan boleh lari 80 hingga 200 kilometer sejam berdasarkan keupayaan. Jadi di lebuh raya, kita tidak bawa… dengan speed politik, dengan pembangunan yang ada sekarang, kita hanya lari deras Morris Minor tiga silinder mana boleh? Sekarang semua nak pantas."

Mengenai kenyataan beliau yang secara terbuka melahirkan kesediaan menggalas jawatan Menteri Besar jika PAS kekal jadi kerajaan negeri, Phahrolrazi berkata, maksud beliau itu telah disalah tafsir.

Jelas beliau, kenyataan itu sebagai menggambarkan bahawa ada di kalangan ahli Pas Kedah yang sedia memikul amanah dan tugas tersebut, dan rakyat tidak perlu bimbang kononnya tiada pemimpin pelapis.

Phahrolrazi juga menegaskan beliau tidak melatah dengan dakwaan bahawa Pas Kedah bergolak dan berharap Azizan tidak terpengaruh dengan laporan media.

Phahrolrazi sebelum ini tercampak dalam krisis dengan Azizan selepas tidak disenaraikan sebagai Exco Kerajaan Negeri, bersama Dr. Ismail Salleh yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah II.

Selepas campur tangan PAS Pusat, nama mereka berdua disenaraikan semula tetapi Phahrolrazi dan Ismail menolak. Krisis itu bagaimanapun selesai selepas mereka menerima pelantikan tersebut.