KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) bersedia untuk memenuhi obligasi kontrak dengan kerajaan bagi mengagihkan 12 juta dos vaksin Sinovac pada bulan Jun dan Julai ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ia melibatkan 5,089,800 dos vaksin fill and finish, dan 6,910,200 dos vaksin siap.

Zulkarnain berkata, komitment syarikat farmaseutikal itu akan membantu mempercepat sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok hujung tahun ini.

Pada masa sama katanya, Pharmaniaga juga telah membuat pra-tempahan 10 juta lagi vaksin Sinovac sebagai persediaan menghadapi permintaan tinggi seluruh dunia terhadap vaksin itu.

"Kita sudah buat pra-tempahan Sinovac untuk 10 juta dos kerana kita telah mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya WHO meluluskan pendaftaran Sinovac.
JOM CUCUK VAKSIN! 


"Maka Sinovac akan membekalkan vaksin mereka ke seluruh dunia seperti Sinopharm. Apabila itu berlaku, jadi untuk mendapatkan vaksin ini amatlah susah. Jadi oleh itu, kita telah membuat pra-tempahan Sinovac," dalam sidang media melalui aplikasi Zoom pada Jumaat.

BACA: COVID-19: Pemberian dos vaksin COVID-19 cecah 100,000 sehari - JKJAV


Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, rundingan terkini di antara kerajaan dengan Sinovac dan Pharmaniaga, memutuskan Malaysia akan menerima semua baki daripada 12 juta dos yang ditempah pada Jun dan dan Julai.

Pharmaniaga juga akan sentiasa berbincang dengan pihak Sinovac dan kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada seluruh rakyat.

"Fill and finish yang telah ditandatangani itu dengan Sinovac adalah 40 juta dos dan sekarang ini kita telah membuat pra-tempahan 10 juta dos.

"Kita telah mendapat sejuta dos, dan lagi 3 juta dos akan diperolehi dalam bulan Jun. Baki 6 juta lagi akan diperoleh dalam masa terdekat iaitu dalam bulan Julai,"ujarnya.