KUALA LUMPUR: Dua piala H.M.S Malaya keluaran 1921 di London, simbolik kepada kisah perjalanan sukan bola sepak dan ragbi di Malaysia dapat dilihat secara dekat menerusi Pameran 100 tahun Trofi H.M.S Malaya di Muzium Negara yang sedang berlangsung sehingga 31 Jan ini.
Kurator Bahagian Pengurusan Konservasi Jabatan Muzium Malaysia Muhammad Faiz Azizan berkata Muzium Negara bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan piala yang merupakan koleksi tunggal berada dalam keadaan terpelihara.
Menurutnya, antara lain menerusi pelbagai kajian dan langkah konservasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dalam menentukan kesahihan, kerosakan, keaslian bahan selain menilai struktur pada trofi berkenaan.
Beliau berkata proses konservasi dijalankan terbahagi kepada dua iaitu preventif dan kuratif, meliputi aspek suhu, kelembapan bandingan dan agen deteriorasi yang dilakukan secara berjadual bagi memastikan koleksi itu berada dalam keadaan kondusif untuk diperagakan.
"Artifak berasaskan logam perak selalunya akan menghadapi kakisan yang menghasilkan satu lapisan teroksida berwarna kelabu di atas permukaannya dikenali sebagai tarnish (sebam).
"Oleh itu, konservasi kuratif bagi logam perak ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pembersihan, pengilatan dan perlindungan trofi," katanya kepada Bernama.
Muhammad Faiz berkata bagi penentuan keaslian bahan serta penilaian kekuatan struktur pada trofi pula, ia menggunakan teknik nuklear seperti X-Ray Fluorescence (XRF), Pengaktifan Neutron Sinar Gama Pantas (PNSGP), pengimejan neutron, radiografi dan teknik Eddy Current.
"Kajian pencirian bahan seperti XRF dan Eddy Current berjaya membuktikan bahan koleksi dua trofi H.M.S Malaya ini asli dan diperbuat daripada aloi perak dan argentum manakala kajian pengimejan seperti radiografi dan pengimejan neutron pula memberikan gambaran nyata tentang kaedah cantuman pada tangkai dan badan trofi," katanya.
Menyingkap sejarah artifak tersebut, beliau berkata kedua-dua piala itu diperoleh selepas kunjungan kali pertama kapal perang berperisai British dinamakan Her Majesty's Ship (H.M.S) Malaya sempena menghargai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Malaya yang membiayai pembinaan kapal tersebut, berlabuh di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) pada 1921.
"Sebagai penghargaan, Komander H.M.S Malaya ketika itu, Kapten HT Buller menyumbangkan dua piala H.M.S Malaya kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk dipertandingkan dalam sukan ragbi dan bola sepak," katanya.
Beliau berkata trofi berprestij berkenaan digunakan selama kira-kira 46 tahun dalam perlawanan bola sepak dan 65 tahun bagi sukan ragbi sebelum digantikan dengan Piala Malaysia dan Piala Agong.
Muhammad Faiz berkata Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyerahkan piala dengan ketinggian 73.7 sentimeter (cm) itu kepada Pengarah Muzium Negara Datuk Sharum Yub pada 19 Feb 1968.
Piala H.M.S Malaya bagi sukan ragbi yang mempunyai ketinggian 57.8 cm pula diserahkan kepada Muzium Negara oleh penaung Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) Sultan Haji Ahmad Shah pada 9 Ogos 1986.
Mengenai pameran tersebut, Mohamad Faiz berkata ia menerima sambutan sangat memberangsangkan dan setakat ini menerima 81,338 pelawat sejak pameran dibuka pada 1 Nov lepas.
"Keunggulan trofi ini diterjemahkan melalui pameran kepada masyarakat supaya nilai sejarah pada kedua-dua trofi ini dapat ditatap dan dihayati setiap lapisan masyarakat kerana melalui sukan, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama dapat disatukan," katanya sambil memberitahu piala itu pernah dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 Nov 2021.
Pameran itu turut menampilkan koleksi daripada pengumpul dalam bidang sukan berkaitan seperti tiket perlawanan akhir trofi H.M.S Malaya pada 1953 dan logo pertama Persatuan Bola Sepak Amatur Singapura 1929.
Selain itu, logo pertama Persatuan Bola Sepak Malaya 1939 dan Buku Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaya serta koleksi pakaian pemain termasuk milik Allahyarham Mokhtar Dahari yang pernah dipakainya semasa Sukan Semenanjung Asia Tenggara atau Sukan SEAP 1973.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jan 17 2023

Trofi berprestij berkenaan digunakan selama kira-kira 46 tahun dalam perlawanan bola sepak dan 65 tahun bagi sukan ragbi sebelum digantikan dengan Piala Malaysia dan Piala Agong. - Foto Stadium Astro

Kira-kira 5,000 pekerja sektor awam sertai mogok
Ribuan pekerja sektor awam termasuk kakitangan hospital menyertai mogok di Brandenburg Gate pada Sabtu bagi mendesak kenaikan gaji.

Kamala tiba di Ghana, mulakan lawatan seminggu di Afrika
Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris tiba di Accra, Ghana pada Ahad sekali gus memulakan lawatan seminggunya ke benua Afrika yang pastinya akan menarik perhatian umum memandangkan beliau naib presiden wanita kulit hitam pertama Amerika Syarikat melawat benua itu.

Do Kwon ditahan selepas enam bulan larikan diri
Pengasas syarikat mata wang kripto, Terraform Labs iaitu Do Kwon akhirnya berjaya ditahan pihak berkuasa Montenegro pada Sabtu selepas notis merah dikeluarkan oleh Interpol pada Oktober tahun lalu.

Tiada pakatan ketenteran antara Rusia dan China
Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan tiada sebarang pakatan ketenteraan antara Rusia dan China.

Pelakon Jonathan Majors ditahan atas dakwaan serangan
Bintang filem Ant-Man and The Wasp: Quantumania, Jonathan Majors ditahan polis pada Selasa atas dakwaan keganasan rumah tangga. Dia ditahan di bandar New York kerana didakwa menyerang seorang wanita berusia 30 tahun di sebuah kejiranan di Chelsea, Manhattan

Pelajar 14 tahun muncul sebagai pembayar zakat perniagaan termuda di Kelantan
Seorang pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas muncul sebagai pembayar zakat perniagaan termuda setakat ini di Kelantan. Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustaman, atau lebih dikenali sebagai Piya, membayar zakat perniagaan sebanyak RM10 ribu bagi tahun 2022 kepada Majlis Agama Islam dan adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Khamis lepas.

Bekalan ayam mencukupi hingga Aidilfitri
Bekalan ayam mentah di seluruh negara dijangka mencukupi sehingga Hari Raya Aidilfitri berdasarkan data diperoleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kanak-kanak lelaki cedera di kepala tersepit lif
Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun setengah mengalami kecederaan di kepala selepas terjatuh dan tersepit di lubang antara pintu lif dan dinding bangunan, hari ini. Kejadian berlaku di sebuah lif pangsapuri Blok C PPR Hicom Jalan Bukit Belimbing Seksyen 26 Shah Alam pada jam 7.30 petang tadi.

MOFA teliti cadangan buka semula kedutaan di negara konflik
Kementerian Luar sedang meneliti cadangan membuka semula beberapa Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara bergolak sebelum ini akibat perang yang berlaku.Menurut Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, satu pasukan telah diwujudkan bagi meneliti semua aspek keperluan pembukaan semula kedutaan itu sebelum keputusan dibuat.

PRN: PN hanya bermimpi di siang hari - Zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesiapa sahaja boleh bermimpi namun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Piala HMS Malaya dipamer di Muzium Negara
Pameran 100 tahun Trofi H.M.S Malaya di Muzium Negara sedang berlangsung sehingga 31 Jan ini.

Piala HMS Malaya bakal cecah usia 100 tahun
Apa yang anda tahu tentang Piala Her Majesty Ship (HMS) Malaya?