Pihak berkuasa pelabuhan Singapura beri kerjasama dalam siasatan jambatan runtuh di AS

Bernama
Mac 26, 2024 06:31 MYT
Menurut pengendali kapal Synergy Marine Group, kesemua kru warga India selamat dan tiada kecederaan serta insiden pencemaran dilaporkan dalam kejadian kapal melanggar jambatan di Baltimore, Maryland, pada Selasa. - REUTERS
SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan memberI kerjasama penuh kepada Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) bagi menjalankan siasatan selepas sebuah kapal yang berdaftar di Singapura melanggar jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Maryland.
Agensi itu berkata ia juga akan menyiasat insiden melibatkan Dali, sebuah kapal kontena dikendalikan 22 kru semasa kejadian kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Selasa.
"MPA berhubung dengan Pengawal Pantai AS dan syarikat pengurusan kapal untuk memberikan bantuan yang diperlukan," menurutnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu menurut pengendali kapal Synergy Marine Group dalam satu kenyataan, kesemua kru warga India selamat dan tiada kecederaan serta insiden pencemaran dilaporkan.
Kapal kontena berkapasiti 10,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) itu sedang membawa 4,679 TEU kontena sedang dalam pelayaran ke Colombo, Sri Lanka.
Menurut laporan media antarabangsa, darurat telah diisytiharkan di Maryland berikutan insiden yang menyaksikan jambatan Francis Scott Key runtuh, mengakibatkan beberapa kenderaan terhumban ke dalam Sungai Patapsco.
Seramai 20 mangsa dipercayai berada di dalam sungai itu bersama banyak kenderaan, lapor Reuters.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #jambatan runtuh #Singapura #Baltimore
;