MALAYSIA
Pihak berkuasa tidak boleh ancam pemberi maklumat, Albert Tei diminta buat laporan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata hal ini kerana pihak berkuasa sepatutnya melindungi pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang tampil untuk memberikan maklumat mengenai sebarang kelakuan tidak wajar, tidak boleh disekat atau diancam oleh mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata hal ini kerana pihak berkuasa sepatutnya melindungi pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
"Saya mengambil maklum berkenaan peguam kepada Albert Tei hari ini, mengenai dakwaan bahawa Albert Tei telah menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah, tetapi telah diberi amaran oleh pegawai SPRM supaya tidak tampil dalam kalangan umum atau beliau akan berdepan dengan masalah.
"Perkara ini satu dakwaan yang sangat serius dan tidak boleh diterima sama sekali ... saya ingin menasihati individu yang bernama Albert Tei untuk segera memfailkan laporan berhubung isu ini kepada Polis Diraja Malaysia dan Jawatankuasa Aduan SPRM di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dengan menamakan pegawai SPRM yang terlibat dalam dakwaan terbabit."Saya memberikan jaminan sepenuhnya bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam isu-isu ancaman seperti ini dan tindakan yang tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu didapati benar," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.
Semasa perbahasan rang undang-undang berkenaan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tentang laporan media hari ini berhubung kenyataan peguam kepada Albert Tei, Mahajoth Singh yang mendakwa anak guamnya diberi amaran oleh SPRM agar tidak tampil ke hadapan sebelum mendedahkan skandal perlombongan di Sabah.
Mengenai Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat dalam pindaan RUU berkenaan, Kulasegaran berkata kerajaan akan memastikan keanggotaan jawatankuasa itu bebas daripada konflik kepentingan dan berkaliber.
Beliau berkata antara anggota yang dicadangkan akan terdiri daripada pihak yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam aspek perlindungan pemberi maklumat termasuk pertubuhan bukan kerajaan atau pertubuhan masyarakat sivil (CSO), serta pakar akademik.
"Langkah ini akan memastikan kebebasan, ketelusan, tanpa konflik kepentingan serta semak dan imbang dalam pelaksanaan jawatankuasa.
"Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat ini merupakan stop-gap measure only, buat sementara sahaja sehingga satu agensi pusat ditubuhkan, iaitu Ombudsman Malaysia, yang akan mengambil alih fungsi dan tugas jawatankuasa ini dengan tambahan kuasa termasuk menerima aduan daripada pemberi maklumat yang merangkumi kelakuan tidak wajar dan tidak memudaratkan.
"Ombudsman Malaysia juga akan memantau hasil siasatan yang dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan ini dan sebarang pelaporan kepada Parlimen sangat dialu-alukan bagi tujuan ketelusan dan akan dilaksanakan pada agensi pusat yang ditubuhkan," katanya yang turut memaklumkan prosedur operasi standard termasuk garis masa akan diperincikan dan ditetapkan semasa penubuhan Ombudsman Malaysia.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat bertanggungjawab memperoleh dan menyelaras statistik serta data berkaitan pendedahan dan aduan yang diterima oleh agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata bagaimanapun, segala statistik, data atau maklumat yang dikemukakan kepada jawatankuasa tidak boleh merangkumi sebarang maklumat sulit yang dilindungi di bawah Seksyen 8, bagi memastikan tiada sebarang isu kebocoran maklumat.
"Hal ini secara langsung memberikan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat kekal dilindungi sepertimana yang diperuntukkan di Seksyen 6 akta ini, sekali gus memastikan keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan pemberi maklumat terus terpelihara," katanya.
Azalina berkata statistik menunjukkan dari 2011 hingga 2023, sebanyak 74,614 aduan berkaitan kelakuan tidak wajar telah diterima dan disiasat, manakala 1,139 orang telah diiktiraf sebagai pemberi maklumat dan diberi perlindungan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami