Mulai tahun depan, Ujian Aptitud Tahun 6 akan ditadbir pada waktu berasingan oleh pihak sekolah, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata tahun ini merupakan tahun terakhir Ujian Aptitud Tahun 6 dilaksanakan secara berpusat selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bercakap dalam sidang media untuk mengumumkan analisis keputusan UPSR 2015 di sini hari ini, Khair berkata Ujian Aptitud mengukur tahap kebolehan dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah dilaksanakan.

Katanya potensi diri (aptitud) murid akan dilaporkan berdasarkan kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan serta minat dan kecenderungan murid terhadap bidang akademik, teknik dan vokasional, seni, budaya dan sosial atau sukan.

"Maklumat ujian ini amat berguna kepada ibu bapa dan guru untuk membantu murid membuat pilihan dalam pendidikan menengah selain ia boleh digunakan untuk mengetahui potensi murid di samping pencapaian dalam bidang akademik melalui keputusan UPSR," katanya.

"Saya perlu mengingatkan bahawa pelaporan Ujian Aptitud tidak dinyatakan dalam slip keputusan UPSR tetapi boleh diperoleh melalui pihak sekolah," katanya.

Menurut seorang pegawai Kementerian Pendidikan yang memperjelaskan pelaksanaan ujian aptitud Tahun 6 baharu itu, tarikh ujian aptitud akan ditentukan bahagian pengurusan sekolah harian mulai 2016.

Sebelum ini, ujian aptitud adalah dalam jadual peperiksaan UPSR.

Sementara itu, Khair berkata pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kohort pertama akan berada di tahun enam pada 2016, sejajar dengan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Beliau berkata keputusan UPSR 2016 akan dikeluarkan bersama-sama pelaporan PBS iaitu pernyataan keputusan UPSR, pernyataan Pentaksiran Sekolah, pernyataan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan pernyataan Pentaksiran Psikometrik.