Badan bukan kerajaan (NGO) Centre for a Better Tomorrow (CENBET) membidas tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang membuat pembatalan mendadak ke atas sebuah forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada Rabu.

Menurut Presiden bersama CENBET Gan Ping Sieu, universiti awam di negara ini tidak sepatutnya mengawal selia pentadbiran mereka sehingga menyekat kebebasan akademik.

“Ini membuatkan saya risau dengan pembatalan mendadak sebuah forum pada Rabu melibatkan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam.

“Ini merupakan kali kedua UIA membatalkan sebuah forum dalam masa tiga minggu. Pada 29 April, ia membatalkan sebuah forum tentang kesederhanaan, yang dipercayai kerana kehadiran seorang ahli politik.

Ini bukan tadbir urus yang baik (good governance),” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tugas pentadbiran universiti adalah untuk membantu universiti dengan garis panduan yang jelas tentang aktiviti pelajar dan bukan menghampakan mereka.

Pada Khamis, Rafizi - yang juga merupakan Naib Presiden PRK - mempertikaikan tindakan kasar Ketua Keselamatan UIA Razali Mohamad yang bertindak merampas mikrofonnya semasa sedang berucap pada malam Rabu.

Tegasnya, tindakan itu sekali gus dilihat tidak adil selepas mereka membenarkan Lokman Adam untuk berucap dan membentangkan isu GST selama kira-kira 15 minit kepada mahasiswa universiti berkenaan.

"Setelah 15 minit Lokman Adam berucap, seorang pegawai keselamatan UIA tampil mengumumkan bahawa pihak pengurusan teratas UIA telah membuat keputusan bahawa program boleh diteruskan tetapi hanya Lokman Adam yang dibenarkan berucap. Ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan siswa yang hadir.

"Lokman Adam kemudiannya menyatakan dia akan berhenti bercakap dan mahu program dihentikan.

"Pada ketika itu saya menyatakan kepada pimpinan MPP dan siswa yang hadir bahawa tidaklah adil jika saya langsung tidak dibenarkan berucap sedangkan Lokman Adam telah pun berucap selama 15 minit,” katanya dalam satu kenyataan.