KUALA LUMPUR: Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan bermula pada 16 Jun ini dengan vaksinasi di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan.

MITI menjelaskan sektor-sektor ini penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting serta pembinaan, penyelenggaraan dan kelancaran infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan sistem penjagaan kesihatan awam.

"Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan untuk penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan oleh pihak swasta.

"Ia termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat yang sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam keutamaan vaksinasi bagi golongan yang paling memerlukan melalui PICK, namun pelaksanaan PIKAS adalah penting bagi melindungi pekerja dari risiko jangkitan," kata kenyataan itu.

PIKAS adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang menyasarkan pekerja dimana MITI telah dipertangungjawabkan untuk menyelaraskan imunisasi pekerja bagi sektor pembuatan.

Beberapa kementerian lain juga akan bertanggungjawab untuk vaksinasi pekerja bagi sektor masing-masing. Penyertaan syarikat dan pekerja dalam PIKAS adalah secara sukarela.