Pilihan raya 1 Mei hanya kemungkinan - Richard Riot

Madiha Abdullah
Mac 15, 2018 08:22 MYT
RIOT: Ia bukan keputusan sesiapa sebaliknya hanya kemungkinan sahaja.
Kenyataan berhubung tarikh pilihan raya pada 1 Mei hanya satu kemungkinan sahaja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot menegaskan, kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini adalah berdasarkan pendapat peribadinya dan bukan satu keputusan dari mana-mana pihak.
Riot memaklumkan adanya kemungkinan tarikh 1 Mei itu dipilih memandangkan ramai yang berpendapat pilihan raya perlu diadakan sebelum bulan Ramadan tiba.
“Yang boleh menentukan tarikh pilihan raya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tapi pandangan saya sebagai Menteri, pilihan raya berkemungkinan besar diadakan sebelum bulan Ramadan yang bakal bermula 16 Mei.
“Kerana itu saya sebut tarikh 1 Mei. Ia bukan keputusan sesiapa sebaliknya hanya kemungkinan sahaja,” katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan kenyataan Riot berhubung sambutan Hari Pekerja yang mungkin tidak dapat disambut pada 1 Mei kerana kemungkinan adanya sambutan ‘perayaan yang lebih besar’, yang merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau ditemui pada majlis konvokesyen Skim Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL) di ibu negara, hari ini.
Seramai 1,000 pelatih diberi sijil menerusi program skim itu, yang memberikan pengiktirafan rasmi untuk pengetahuan serta pengalaman di tempat kerja atau pengajian terdahulu.
#konvokesyen #Malaysia Memilih #Najib Razak #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #Ramadan #Richard Riot #Skim Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu