KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menanggung kos melebihi RM420 juta seandainya Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mengadakan pilihan raya negeri secara serentak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ramkarpal Singh berkata kos yang lebih tinggi akan ditanggung kerana perlu ada perancangan berulang untuk pilihan raya negeri yang berasingan.

“Lebih baik diadakan pilihan raya negeri serentak,” kata Ramkarpal semasa ucapan penggulungan Bajet 2023 di peringkat jawatankuasa di Parlimen semalam.

Menurut beliau, dianggarkan enam pilihan raya negeri itu akan menelan belanja RM420 juta jika diadakan serentak.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mencelah dan menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) memastikan negeri Perikatan Nasional mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan negeri di bawah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

"Ini supaya kita dapat menyelamatkan dana negara untuk rakyat," kata Sim.

Dilaporkan pada Februari bahawa enam negeri yang tarikh pengundiannya tahun ini telah mencapai persefahaman untuk membubarkan DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir bulan Jun.

Sementara itu, Ramkarpal mengadakan pelbagai sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).

"Jabatan Peguam Negara akan memutuskan pindaan berdasarkan parameter dasar yang diputuskan oleh Kabinet," tambah Ramkarpal.

PSA mula digubal pada tahun 1963, hanya beberapa bulan sebelum pembentukan Malaysia.

PSA membenarkan Parlimen bertindak sebagai badan bebas yang menjalankan hal ehwalnya sendiri seperti memilih kakitangan sendiri dan menguruskan perbelanjaannya.

Walau bagaimanapun, Akta tersebut telah dimansuhkan pada tahun 1992.

Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata penggubalan semula PSA adalah antara agenda reformasi utamanya untuk Parlimen. - DagangNews.com