WWF-Malaysia pada Selasa mengulangi gesaannya kepada kerajaan negeri untuk meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 untuk memelihara dan menghalang pembunuhan gajah-gajah yang menghadapi ancaman di Sabah.

WWF-Malaysia dalam satu kenyataan di sini bersetuju bahawa peruntukan itu mempunyai beberapa kelemahan yang perlu ditangani sebelum ia dapat dilaksanakan tetapi organisasi itu terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta bagi menangani isu itu.

"WWF-Malaysia sebelum ini menggesa supaya Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dipinda untuk memasukkan peruntukan liabiliti ketat bagi pemilik tanah persendirian dipertanggungjawabkan dan perlu membuktikan mereka tidak bersalah jika kematian gajah berlaku di tanah mereka atau bukti mengenai aktiviti haram berlaku seperti memasang jerat, memburu dan perangkap berlubang dijumpai di kawasan mereka.

"Melalui peruntukan ini, beban bukti akan akan dibalikkan kepada mereka yang bermakna beban itu tidak lagi terletak pada pihak pendakwaan," kata WWF-Malaysia dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, minggu lepas, kita telah menyaksikan kematian seekor lagi gajah kerana kecederaan akibat terkena jerat dan sekurang-kurangnya 25 ekor gajah dilaporkan ditemui mati sejak awal tahun ini.

"Yang lebih membimbangkan ialah bilangan gajah yang mati akibat terkena perangkap berlubang yang dipasang di dalam habitat haiwan itu," kata kenyataan tersebut.

Jerat biasanya digunakan oleh pemburu yang memasangnya di sepanjang laluan di rizab hutan yang bersempadan dengan kawasan perladangan dalam usaha untuk menjerat babi hutan dan rusa.

Walaupun gajah sangat jarang menjadi sasaran pemburu, haiwan itu sering terkena jerat yang dipasang itu kerana gajah menggunakan laluan yang sama seperti hidupan liar yang lain.

-- BERNAMA