Pindaan Akta 652 dan Akta 640 perkukuh ekosistem kemahiran, tingkat keyakinan pelabur

Manndzri berkata pindaan dua akta penting itu bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi reformasi struktur menyeluruh terhadap ekosistem TVET negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Ringkasan AI
- Pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, menandakan komitmen kerajaan dalam membangun sistem kemahiran yang responsif terhadap industri dan teknologi.
- Pengerusi Malaysia-China Institute (MCI) menyatakan bahawa pindaan dua akta tersebut membuka peluang kolaborasi antarabangsa terutamanya dalam latihan, pertukaran tenaga pengajar, dan pelaburan teknologi antara Malaysia dan China, memperkuat kepercayaan pelabur luar terhadap ekosistem TVET Malaysia.
- Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) menganggap pindaan terhadap kedua-dua akta sebagai langkah bersejarah yang memperkukuh dasar pembangunan tenaga mahir negara dengan pendekatan inklusif, meluaskan akses pembiayaan kepada pelbagai program latihan, serta mendorong transformasi TVET negara ke arah ekonomi berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Pindaan terhadap kedua-dua akta itu dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Dewan Rakyat hari ini.
Manndzri turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MTVET Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Sim atas keberanian membawa pindaan itu ke Parlimen.
Beliau berkata cadangan pengiktirafan program latihan di luar National Occupational Skills Standard (NOSS), peluasan skop pembiayaan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta pewujudan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) menjadikan TVET lebih inklusif dan sejajar trend global yang menekankan kemahiran fleksibel serta pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut Manndzri, selaku Pengerusi MCI, beliau turut melihat pindaan itu membuka peluang kolaborasi antarabangsa, khususnya dalam latihan, pertukaran tenaga pengajar dan pelaburan teknologi antara Malaysia dan negara rakan seperti China.
"Pelabur luar akan lebih yakin untuk melabur dalam ekosistem TVET Malaysia apabila melihat kerajaan memberi keutamaan kepada dasar yang jelas, tadbir urus yang telus dan struktur pengiktirafan yang kukuh," katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) Mohammad Rizan Hassan dalam kenyatan berasingan menyifatkan pindaan terhadap kedua-dua akta itu sebagai langkah bersejarah yang amat dinantikan pemain utama dalam ekosistem TVET.
"Pindaan ini adalah satu langkah bersejarah yang amat dinantikan oleh pemain-pemain utama dalam ekosistem TVET khususnya institusi latihan kemahiran, tenaga pengajar dan golongan belia yang menjadikan kemahiran sebagai jalan kerjaya.
"BELIA MAHIR melihat pindaan terhadap kedua-dua akta ini sebagai isyarat jelas bahawa kerajaan serius memperkukuh dasar pembangunan tenaga mahir negara dengan pendekatan lebih inklusif dan realistik terhadap keperluan semasa industri," katanya.
Mohammad Rizan berkata pindaan terhadap Akta 640 turut memperluas akses pembiayaan kepada pelbagai program latihan yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sekali gus mempercepat agenda "TVET for All" yang diperjuangkan organisasi itu.
"Dengan semangat 'Bantu belia, bantu negara", BELIA MAHIR yakin pindaan dua akta penting ini bakal menjadi pemacu utama kepada transformasi TVET negara ke arah ekonomi berkemahiran tinggi menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


