Skip to main content

Malaysia

Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dibentang dalam sidang Parlimen akan datang - Ramanan

Ramanan, Perkeso
Ramanan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, di sini, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan peluasan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata rang undang-undang (RUU) itu akan dibawa ke Parlimen selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Advertisement

“Selepas diluluskan Kabinet, kita akan bawa ke Parlimen dan sebaik sahaja diluluskan, akta ini akan terus berkuat kuasa serta-merta. Kita sasarkan pelaksanaannya tahun ini kerana aspek keselamatan dan kesihatan pekerja tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, di sini, hari ini.

Mengulas kebimbangan kemungkinan penyalahgunaan, Ramanan menjelaskan skim berkenaan telah dirancang secara teliti, selain PERKESO mempunyai asas kukuh hasil pelaksanaan skim sedia ada.

Katanya, penambahbaikan turut dilakukan sebelum cadangan peluasan perlindungan itu dipersetujui.

“Ia melibatkan pengembara, termasuk kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura. Golongan ini sememangnya memerlukan perlindungan keselamatan.

“Tahun lepas sahaja terdapat 54 kes kemalangan maut melibatkan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan semua rakyat Malaysia berhak mendapat perlindungan sosial yang adil tanpa mengira lokasi mereka bekerja, justeru kementerian akan memastikan skim berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.

Cadangan peluasan perlindungan PERKESO itu sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di ibu negara, 1 Mei lepas.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan meminda akta berkenaan bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 480,000 rakyat tempatan yang kini bekerja tanpa jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata Garis Panduan bagi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) Edisi 2026 yang dilancarkan hari ini turut memberi penekanan kepada aspek kesihatan mental.

Beliau berkata skop pelaksanaan garis panduan itu merangkumi pekerja gig, selain majikan telah diberi taklimat serta panduan yang jelas melalui agensi berkaitan.

“Panduan ini menjadi rujukan utama bagi memastikan majikan menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif, selaras dengan ketetapan yang ditetapkan,” katanya.

Must Watch Video