KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 (Akta 743) dilihat mampu memastikan entiti perniagaan yang menghadapi masalah kewangan boleh meneruskan perniagaan melalui kerangka rehabilitasi yang lebih efisen serta mengurangkan tindakan penggulungan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, kelangsungan syarikat meneruskan operasi adalah kritikal khususnya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan kadar pengangguran nasional.

“Kerangka rehabilitasi korporat yang lebih komprehensif merupakan komponen penting bagi memastikan entiti perniagaan terus berdaya saing dan mengurangkan risiko untuk diambil tindakan penggulungan.

“Malah, terdapat juga keperluan untuk mengukuhkan lagi peruntukan tadbir urus dengan menambahbaik kerangka pelaporan pemunyaan benefisial bagi mengekang aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai dengan menyalahgunakan entiti perniagaan bagi melindungi kegiatan jenayah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI: Pindaan Akta Syarikat 2016 & Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 pada Isnin.


Agenda AWANI: Pindaan Akta Syarikat 2016 & Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

Dalam pada itu menurut Nor Azimah, kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dicadangkan tersebut akan meningkatkan ketelusan berkaitan individu sebenar yang mempunyai perniagaan atau yang mempunyai kawalan terhadap entiti perniagaan itu.

“Secara amnya, pemerkasaan dua akta ini adalah bagi meluaskan pemakaian mekanisme penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat dan pengurusan kehakiman kepada semua jenis syarikat kecuali syarikat yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau syarikat yang dilesenkan atau diluluskan di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

“Ia turut mengukuhkan peruntukan berkaitan skim perkiraan atau kompromi untuk dimanfaatkan sebagai satu proses rehabilitasi korporat dengan menyediakan peruntukan lebih lengkap dan proses yang lebih efisien serta telus untuk membolehkan skim dicadangkan dapat diluluskan disamping melindungi hak-hak pemiutang sedia ada,” ujarnya.

Menerusinya juga, syarikat yang memohon perintah pengurusan kehakiman atau yang mencadangkan skim perkiraan atau kompromi mendapatkan pembiayaan penyelamat dari sumber kewangan, malah pembiaya baharu itu diberi keutamaan khas tanpa menjejaskan kepentingan pemiutang sedia ada sekiranya syarikat digulungkan.

Pindaan ini juga memperkenalkan Mekanisme Penyelamat Korporat (CRM) kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan selain bertujuan untuk menambahbaik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT.

Malah, penambahbaikan serta pindaan untuk memperluaskan pemakaian perundangan berhubung CRM itu turut akan membantu PLT yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat agar PLT boleh terus beroperasi (stay afloat).

Bagi tujuan memperkenalkan polisi-polisi baharu, terdapat 27 pindaan yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) dan 11 pindaan yang dicadangkan di bawah RUU PLT (Pindaan) melibatkan pindaan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada dan cadangan peruntukan baharu.