Pindaan Perkara 10 Perlembagaan bolehkan Akta Antilompat Parti dibentang - PM

Fareez Azman
April 10, 2022 12:57 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa adalah perlu untuk Pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibentang di Dewan Rakyat esok bagi membolehkan Akta Antilompat Parti dibentang. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa adalah perlu untuk Pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibentang di Dewan Rakyat esok bagi membolehkan Akta Antilompat Parti dibentang.
Jelasnya, sebanyak 13 perjumpaan telah dilakukan bersama Ahli Parlimen pembangkang bagi menerangkan berhubung pindaan berkenaan.
"Hari ini, kita adakan perjumpaan dengan ahli Parlimen dan juga ahli Dewan Rakyat untuk terangkan mengenai Pindaan Perlembagaan akan dibentang esok.
"Jadi seperti yang kita tahu, ada juga tidak tahu, ada juga yang keliru. Tujuan kita bentangkan Pindaan Perlembagaan Perkara 10 atau Artikel 10 untuk membolehkan Akta Antilompat Parti dibentangkan di Parlimen," jelasnya.
Tambah Perdana Menteri lagi, sebagai contoh tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini membuat pindaan tidak terpakai selepas bercanggah dengan Artikel 10.
"Seperti kita tahu, DUN Kelantan buat pindaan terhadap Undang-Undang tubuh kerajaan negeri tidak benarkan lompat parti.
"Tapi kerana Artikel 10 Perlembagaan Pindaan tidak dipinda, jadi Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh terpakai," ujarnya lagi.
Yakin mendapat dua pertiga
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menzahirkan keyakinan bahawa Pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibentangkan esok akan mendapat undian dua pertiga.
BACA: Kerajaan sasar bentang Akta Antilompat Parti Julai ini - PM Ismail Sabri
BACA: PM, Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen hadir taklimat khas mengenai RUU Antilompat Parti
"Sebab itu, kita kena pinda Artikel 10, dan ini yang akan dilakukan esok dan bila, saya harap, diluluskan dengan lebih kepada 148 undi, sebab untuk pindaan perlembagaan mesti ada dua pertiga menyokong.
"Hari ini, daripada media kenyataan media kita baca, dari parti parti kerajaan semua sokong, dari pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pun dah buat kenyataan dan akan sokong," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Rang Undang-Undang Akta Antilompat Parti bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Dewan Sri Endon di sini pada Ahad.
#pindaan perlembagaan #Perkara 10 #ismail sabri yaakob #Dewan Rakyat #Dewan Negara #Akta Antilompat Parti #Parlimen