KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 dikuatkuasakan kelak.
Sebaliknya, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pelantikan Pendakwa Raya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas diluluskan Majlis Raja-Raja dengan tempoh perjawatan adalah selama tujuh tahun.
Advertisement
“Idea asal ialah untuk memisahkan campur tangan politik dalam aspek pelantikan Pendakwa Raya dan sebab inilah kita tidak meletakkan peranan ahli politik, termasuk Perdana Menteri.
“Sebab kita mahu memastikan dia (Pendakwa Raya) berlaku adil ketika menjalankan tugas dan inilah yang menjadi kerisauannya ketika idea memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Kita khuatir Pendakwa Raya akan terikut-ikut dengan rentak kelompok tertentu yang menentukan pelantikannya, jika proses berkenaan turut membabitkan Yang Berhormat atau ahli politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata calon ke jawatan itu akan dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
Selain itu, beliau menjelaskan, pelantikan Pendakwa Raya tidak boleh membabitkan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta perlu memiliki pengalaman litigasi sekurang-kurangnya selama 10 tahun.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat, hari ini.