KUALA NERUS:Penduduk yang tinggal dikawasan berisiko banjir serta yang berada di kawasan pantai diingatkan agar berpindah lebih awal bagi menggelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata tindakan berpindah disaat akhir itu boleh mengundang kepada insiden terperangkap ataupun terkandas jika berlaku kenaikan paras air yang mendadak.

Katanya tindakan lambat berpindah itu juga merumitkan keadaan dimana tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengambil sedikit masa berbanding sebelum ini berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kelaziman baharu akibat wabak COVID-19.

“Sekiranya terdapat ombak besar atau keadaan yang mencurigakan, saya syorkan supaya berpindah lebih awal dan jangan tunggu sehingga saat terakhir kerana ini akan menyukarkan pasukan penyelamat untuk memberi bantuan,” jelas Md Hilman.

Justeru beliau berharap orang ramai dapat mematuhi nasihat dan beri kerjasama kepada pasukan penyelamat sekiranya mereka diminta berpindah bagi mengelak berlaku kecemasan.

Pada Ahad, Terengganu sekali lagi dilanda banjir dengan menyaksikan daerah Kemaman dan Dungun kembali terjejas menerusi gelombang banjir kelima.

BACA: Terengganu dilanda banjir gelombang kelima

Susulan itu lebih 300 mangsa di dua daerah terbabit telah dipindahkan bermula jam 5 petang Ahad.

Terdahulu gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak 17 Disember lalu pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 23 Disember.

Menerusi gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu ketika itu, lebih 8,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 7,000 mangsa.