KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti mengelak daripada mulut harimau namun termasuk ke mulut buaya apabila ramai terperangkap dengan jerat syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen yang realitinya tidak ada beza dengan along.
Syarat ketat yang dikenakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke atas syarikat PPW bersandarkan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), ternyata bukan penghalang bagi mereka menangguk di air keruh, menggunakan pelbagai taktik memeras sebanyak mungkin wang daripada peminjam.
Walaupun Akta 400, antara lain menetapkan syarat syarikat PPW hanya boleh mengenakan kadar faedah maksimum ke atas pinjaman sebanyak 12 peratus (bercagar) hingga 18 peratus (tidak bercagar) setahun, ada yang mengecaj kadar faedah berkali ganda lebih tinggi, menurut Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).
PKPKL yang menerima lebih 200 aduan sebulan tentang isu itu, juga percaya angka sebenar mereka yang menjadi mangsa PPW adalah jauh lebih tinggi.
Mereka tidak tampil meminta bantuan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk takut kehilangan pekerjaan, terutama penjawat awam, selepas diugut oleh PPW, dedah Yang Dipertua PKPKL Samsudin Mohamad Fauzi.
"Kami memang banyak menerima aduan mangsa, dan untuk kami membantu, mereka perlu datang ke ibu pejabat di sini. Bagaimanapun ada yang tidak dapat datang disebabkan kekangan kewangan kerana menetap jauh seperti di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain," katanya kepada Bernama.
DIJANGKA MENINGKAT
Mengulas lebih lanjut, Samsudin berkata pihaknya menerima lebih 5,000 aduan dalam tempoh 2012 hingga sekarang, dan untuk tahun ini setakat Mei lalu, PKPKL menerima lebih 800 aduan.
Kira-kira 95 peratus daripada aduan itu berjaya diselesaikan, katanya, menambah antara negeri yang merekodkan kes paling banyak ialah Sabah dan Sarawak dengan sebahagian daripada peminjam mencagarkan harta benda seperti tanah dan rumah kepada syarikat PPW.
"Ramai yang menjadi mangsa kerana mereka terdesak untuk menggunakan duit, dan keadaan ini sangat membimbangkan kerana kebanyakan mereka adalah dalam kumpulan usia produktif antara 30 dan 40-an. Yang bersara pun ada juga," katanya.
Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, Samsudin tidak menolak jumlah aduan akan meningkat, dan tambah beliau, peminjam tidak hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah B40, tetapi juga daripada kumpulan M40 serta T20.
Mengulas tentang kes yang pernah dikendalikan oleh persatuan itu, beliau berkata ada syarikat PPW yang menyimpan kad ATM (mesin juruwang automatik) dan kad pengenalan peminjam, iaitu satu kesalahan menurut Akta 400 yang dipinda pada 2010.
Menurut Samsudin lagi, ada juga syarikat PPW yang mengugut mangsa termasuk datang ke rumah atau ke tempat kerja peminjam, iaitu pelanggaran Seksyen 29(B) Akta 400 yang jelas menyatakan pemberi pinjam wang atau wakilnya tidak dibenarkan datang ke rumah peminjam atau tempat peminjam mencari rezeki.
Beliau berkata jika itu berlaku, syarikat PPW terbabit boleh dilaporkan kepada polis serta dihadapkan ke mahkamah menurut Seksyen 506, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
MODUS OPERANDI
Samsudin berkata antara modus operandi PPW dalam memperdaya peminjam bagi mengenakan kadar faedah lebih tinggi daripada yang ditetapkan ialah memaksa peminjam menandatangani borang kosong sebagai syarat kelulusan pinjaman serta tidak menyerahkan salinan dokumen perjanjian kepada mangsa.
Hakikatnya, syarikat wajib menyediakan butiran pinjaman yang lengkap untuk disemak oleh pemohon sebelum memeterai kontrak pinjaman, dan setiap perjanjian pinjaman juga perlu menggunakan borang yang ditetapkan oleh KPKT, iaitu sama ada Jadual J (pinjaman tanpa cagaran) atau Jadual K (pinjaman dengan cagaran).
Bagaimanapun, kebanyakan PPW memperdaya mangsa dengan meminta mereka menandatangani dokumen pemindahan harta seperti Borang 14A iaitu Dokumen Pejabat Tanah dan dokumen Surat Kuasa Wakil sebagai balasan kepada pinjaman bercagar, bukan Jadual K.
Menerusi dokumen pemindahan harta ini, syarikat PPW boleh merampas harta milik peminjam yang telah digadaikan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang dan diklasifikasikan sebagai jenayah komersial.
"Berdasarkan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, syarikat PPW hanya boleh menyita harta peminjam melalui proses dan perintah mahkamah, bukannya merampas harta tersebut.
"Sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang pinjamannya, tindakan yang wajar adalah harta gadaian tersebut dilelong melalui lelongan awam dan hasil lelongan akan diberikan kepada syarikat PPW bagi melunaskan hutang peminjam. Jika ada lebihan, perlu diserahkan kepada peminjam," jelasnya.
TIDAK MENCUKUPI
Samsudian melihat tindakan PPW melanggar undang-undang secara terang-terangan adalah disebabkan oleh kekangan penguatkuasaan KPKT yang pada masa ini mempunyai sekitar 40 penguat kuasa bagi memantau lebih 4,000 syarikat PPW berlesen di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar penguatkuasaan bagi Akta 400 diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mempunyai jumlah pegawai mencukupi.
Selain itu, kementerian tersebut juga mempunyai Tribunal Tuntutan Pengguna yang dapat memudahkan mangsa membawa kes mereka untuk pengadilan dengan bayaran serendah RM5, berbanding mendapatkan khidmat peguam yang memerlukan kos tinggi.
"Kami cadangkan perkara ini sejak 2012 lagi, tetapi hingga hari ini masih belum dapat direalisasikan. Semasa Datuk Seri Hamzah Zainuddin memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sudah ada cadangan untuk dipinda tetapi tergendala.
"Akta 400 tidak sepatutnya di bawah KPKT kerana tidak relevan, disebabkan portfolio kementerian itu bukannya berbentuk badan kewangan berbanding KPDN yang di bawahnya ada Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Jualan Langsung serta Skim Anti Piramid 1993, selain mempunyai lebih 2,000 penguat kuasa," katanya.
Di samping itu, KPDN juga mempunyai pejabat di setiap daerah, sekali gus memudahkan akses orang ramai kepada mereka, sedangkan KPKT hanya mempunyai tiga tempat aduan, iaitu masing-masing satu di Putrajaya (bagi Semenanjung Malaysia), Sabah dan Sarawak.
Beliau juga mencadangkan syarikat PPW yang didapati bersalah melanggar undang-undang dibatalkan lesen serta-merta, selain syarat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan diketatkan bagi mengelakkan isu tersebut terus membarah.
LAGAK GENGSTER
Dalam pada itu, dua mangsa yang dibantu oleh PKPL memberitahu Bernama, mereka sama sekali tidak menduga akan hidup dalam ketakutan selepas meminjam daripada syarikat PPW, tidak ubah seperti orang yang berhutang dengan along.
Ibu tunggal dari Batu Pahat, Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ros, memberitahu Bernama, dia pada asalnya meminjam RM3,000 daripada sebuah PPW, namun kini terjerat dengan satu lagi pinjaman berjumlah RM25,000 daripada syarikat sama.
"Pada asalnya saya membuat pinjaman RM3,000 dengan syarikat terbabit bagi membayar komitmen yang sedang saya tanggung. Setelah saya terima duit itu, mereka minta saya bayar RM460 sebulan dalam tempoh dua tahun. Kalau diconggak, jumlah keseluruhan yang saya kena bayar kepada mereka ialah RM11,000," katanya yang mengaku tidak bertanya tentang kadar bayaran balik pinjaman semasa menandatangani borang pinjaman.
Menurutnya, disebabkan kadar bayaran bulanan yang terlalu tinggi, ada masa dia tidak dapat melunaskan bayaran tersebut, menyebabkan syarikat berkenaan menghantar "wakil" ke rumah dan mengugut untuk menangkap anaknya selain memasukkan dia ke dalam lokap.
"Sebagai 'penyelesaian', mereka paksa saya ambil satu lagi pinjaman berjumlah RM25,000 dengan bayaran balik bulanan RM210, selama 10 tahun. Memang saya tidak mampu bayar, dan kini saya hidup dalam ketakutan," tambah wanita itu.
Sementara itu, Lina yang tinggal dan bekerja di ibu negara, memberitahu dia membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000 daripada sebuah PPW selepas melihat iklan di laman sosial Facebook, pada tahun lepas.
"Saya tahu kadar faedah yang dikenakan adalah tidak munasabah, namun oleh sebab saya terdesak memerlukan wang untuk membayar ansuran kereta dan yuran sekolah anak, saya teruskan juga pinjaman. Mereka minta saya bayar RM1,300 sebulan dalam tempoh 18 bulan, menjadikan jumlah keseluruhan yang saya perlu bayar kepada mereka ialah sebanyak RM23,400," ceritanya, menambah PPW berkenaan turut memegang kad ATM miliknya bagi memudahkan mereka mengambil bayaran bulanan.
"Apabila saya tidak mampu untuk membayar baki hutang dengan syarikat terbabit, saya membuat satu lagi hutang berjumlah RM4,000 dengan sebuah syarikat PPW yang lain. Kali ini saya kena bayar RM650 sebulan dalam tempoh setahun, atau keseluruhan RM7,800. Sekarang saya buntu kerana hutang begitu banyak. Gaji saya habis hanya untuk bayar hutang dengan PPW terbabit," katanya yang bekerja sebagai promoter satu jenama di sebuah pasar raya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jul 26 2023
Mangsa tidak tampil meminta bantuan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk takut kehilangan pekerjaan, terutama penjawat awam, selepas diugut oleh PPW. - Gambar hiasan
Fahmi zahir ucapan takziah kepada keluarga wartawan Nikkei Asia, Hakimie Amrie
Fahmi menyifatkan Allahyarham dikenali sebagai seorang pengamal media yang komited serta berdedikasi.
Tidak ambil gaji dan elaun, bukti komitmen Ramanan demi warga Sungai Buloh
Ramanan menjadi tumpuan umum selepas menyingkirkan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dalam pertarungan yang dianggap cukup sengit.
Google Maps mungkin guna rakaman dashcam untuk kemas kini data pemetaan
Menurut Google, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pengeluar perakam kereta yang mengumpul dan menyimpan data rakaman pengguna.
Razman Zakaria mohon maaf kepada Nga Kor Ming
Razman mengaku terkhilaf dan terkeliru antara dua program yang dirasmikan oleh Nga pada 13 Sept dan 24 Okt melibatkan insiden kibaran bendera negara China.
Heritage Buildings: Preserve or progress?
Heritage buildings hold the echoes of our history and the soul of our identity. Yet, as modern cities expand, the pressure mounts to either preserve or redevelop? Here to guide us through this conversation is Director of Research at Rahim & Co International Sdn Bhd, Sr. Sulaiman Saheh.
Malaysia lulus pelaburan RM254.7 bln bagi sembilan bulan pertama 2024 - MIDA
Pelaburan diluluskan sebanyak RM254.7 bilion untuk sembilan bulan pertama 2024, menekankan keyakinan kukuh pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi Malaysia.
Astro catat pemulihan ADEX pada suku tahun ketiga
Astro Malaysia Holdings Berhad mencatat pertumbuhan dalam perbelanjaan pengiklanan (Adex) pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Bomba selamatkan empat individu terperangkap ketika memancing di Sitiawan
Pihak JBPM Perak mendapat maklumat mengenai insiden tersebut pada 1.13 pagi.
Data & Statistik: Perdagangan borong, runcit Malaysia melakar rekod baharu pada Oktober
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan runcit mendahului carta, meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion, manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.
TVET pacu ekonomi, jamin masa depan generasi muda
TVET diakui sebagai platform signifikan dan strategik dalam membekalkan belia dengan kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh industri.
Pinjam daripada yang berlesen, namun sengsara seolah berhutang along
Syarat ketat yang dikenakan KPKT ke atas syarikat PPW bersandarkan Akta 400 ternyata bukan penghalang bagi mereka menangguk di air keruh.