Skip to main content

Malaysia

Pinjaman Kerajaan Persekutuan: Negeri wajib sedia cagaran aset - MoF

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewajibkan kerajaan negeri yang memohon pinjaman baharu daripada Kerajaan Persekutuan mengemukakan cagaran aset seperti tanah yang setara dengan nilai pinjaman.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah sama turut terpakai kepada syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), bagi membolehkan tuntutan dibuat sekiranya berlaku kegagalan bayaran balik.

“Syarat wajib cagaran aset bagi permohonan pinjaman baharu yang melibatkan kerajaan negeri atau syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Kerajaan mewajibkan mengemukakan cagaran seperti aset tanah yang setara dengan nilai pinjaman bagi membolehkan tuntutan dibuat sekiranya berlaku kegagalan bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan yang masih tertunggak setakat 31 Disember 2025 berjumlah RM8.084 bilion.

Daripada jumlah itu, RM5.709 bilion merupakan tunggakan pokok, manakala RM2.375 bilion lagi melibatkan faedah dan faedah lewat.

“Tunggakan ini sebahagian besarnya terdiri daripada pinjaman bagi projek-projek infrastruktur asas awam, meliputi projek bekalan air bersih, pembentungan, perumahan awam, perumahan awam rendah dan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya lagi.

Menurutnya, syarikat merupakan kategori peminjam yang mencatatkan tunggakan tertinggi iaitu 62 peratus, diikuti kerajaan negeri sekitar 32 peratus.

Bagi meningkatkan keupayaan bayaran balik, kerajaan turut melaksanakan penstrukturan semula pinjaman berdasarkan keupayaan kewangan peminjam, tahap kebergantungan semasa serta unjuran aliran tunai.

Selain itu, model penilaian pinjaman sedia ada akan ditambah baik dengan mewajibkan penilaian kebolehlaksanaan sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Kelulusan pinjaman pula akan dihadkan mengikut kapasiti bayaran balik sebenar, manakala baki pembiayaan projek dicadangkan disalurkan dalam bentuk geran sekiranya keupayaan peminjam terhad.

Must Watch Video

Advertisement