KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan tabung makanan atau 'Fund For Food' bagi menggalakkan pengusaha dan petani meneroka lebih agresif dalam sektor pengeluaran sumber makanan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu boleh dibuat melalui penyediaan pinjaman oleh institusi kewangan dan bank perdagangan Malaysia.

"Tadi kita ada bincangkan BNM mempertimbangkan satu tabung atau Fund For Food yang dahulu disediakan tetapi (kali ini) dipertingkat. Institusi kewangan dan bank perdagangan Malaysia sediakan sebahagian daripada pinjaman mereka untuk menggalakkan pengusaha, penanam, petani meneroka secara lebih agresif untuk keluarkan bahan makanan yang diperlukan negara.

"Dengan cara ini dapat kurangkan bebanan tekanan inflasi dihadapi golongan terutamanya B40," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ke-7 bagi 2022 hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Julai lepas berkata kerajaan bersetuju peruntukan RM100 juta bagi Tabung Agromakanan yang dikawal selia BNM disalurkan kepada koperasi dalam usaha meningkatkan tahap sekuriti makanan negara.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata subsidi bersasar turut dibincangkan dan katanya kerajaan perlu mengkaji semula bentuk subsidi yang digunakan selama ini kerana ia (subsidi) adalah cukup besar.

"Mungkin dicadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan (kepada) hanya mereka yang berhak dan layak dalam kategori umpamanya B40 dan B50 diberikan tumpuan lebih kerana hampir lebih 50 peratus daripada subsidi yang kerajaan sediakan dinikmati orang-orang yang berpendapatan tinggi.

Mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang memberi kesan kepada kadar faedah pinjaman di negara, Muhyiddin berkata langkah itu adalah wajar kerana perkara sama turut diambil oleh negara seperti Amerika Syarikat dan sebagainya bagi mengurangkan sedikit bebanan kesan inflasi.

"Apa pun kita serah kepada BNM dan Kementerian Kewangan pada dasarnya yang menetapkan polisi kewangan itu... Mengambil kira bagaimana langkah-langkah seterusnya kerana dikatakan untuk tahun hadapan keadaan akan lebih sulit dan mencabar lagi," katanya.

Muhyiddin dalam pada itu berkata berdasarkan indikator ekonomi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jun 2022 menunjukkan sektor pembinaan masih mengalami penguncupan dengan laporan DOSM menunjukkan nilai kerja pembinaan menguncup 6.1 peratus kepada 29.5 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

"Sektor ini juga masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan selain kini berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan seperti bar keluli, simen, batu baur, pasir dan batu bata.

-- BERNAMA