KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal membina Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang yang dijangka mampu menempatkan 5,712 pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata projek pembangunan yang digelar Laman Lestari itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM120 juta, dengan jumlah maksimum 17 penghuni bagi setiap unit.

Jelas beliau, pembinaan CLQ tersebut mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memupuk persekitaran hidup yang sihat dan mampan untuk pekerja migran di negeri itu.

"Demi mengutamakan kebajikan pekerja migran ini, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 seorang.

"Pendekatan sewaan ini sejajar dengan komitmen PKNS terhadap strategi jangka panjang untuk mengekalkan CLQ dan memastikan kelestariannya.

"Dengan terbinanya CLQ di Bandar Sultan Suleiman, PKNS secara strategiknya telah memenuhi keperluan pekerja industri di kawasan ini yang menjadi aset kepada pembangunan industri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahmud berkata, pembinaan CLQ di kawasan tanah seluar 4.35 ekar itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan tarikh penyerahan projek pada 2024, manakala sijil siap diperoleh pada 2028.

Tambah beliau, kuarters dengan 336 unit itu akan dilengkapi perabot serta kemudahan asas, selain setiap unit CLQ dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air serta tempat makan yang khusus.

"Selain itu, ia juga dilengkapi pelbagai kawasan awam termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman bagi memastikan kesejahteraan pekerja.

"Ketiadaan penginapan pekerja yang khusus di kawasan ini menyebabkan pekerja tinggal secara berselerak di pangsapuri serta flat berhampiran, dan inisiatif ini bertujuan menangani isi tersebut dengan berkesan," katanya lagi.

Ujar beliau, pembinaan CLQ selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) demi mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pekerja.

Dalam masa sama, Mahmud berkata ketika majlis pecah tanah hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKNS dengan Inter Great Sdn Bhd serta PKNS FM Integrated Sdn Bhd.