KOTA TINGGI:14 orang remaja berusia antara 14 tahun hingga 19 tahun dikompaun RM1,000 kerana didapati melakukan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul dan keluar tanpa alasan munasahabah.

Penahanan itu hasil kejayaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Kota Tinggi sekitar Gugusan Lok Heng Bandar Penawar, dalam Operasi Bersepadu COVID-19 jabatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritenden Hussin Zamora berkata, kesemua remaja yang dikompaun itu antara 17 individu yang ditahan dalam satu operasi awal pagi tadi.

"Pihak Task Force COVID-19 telah mengambil tindakan terhadap kesemua individu tersebut kerana dengan sengaja berkumpul dan keluar tanpa alasan munasabah semasa tempoh PKP.

"Kami telah keluarkan kompaun RM1,000 terhadap kesemua remaja yang ditahan ini.

"Tidak perlu keluar kalau tiada apa-apa urusan. Ini adalah peringatan dan telah diulang berapa kali.

"Saya harap masyarakat tidak ingkar dengan SOP yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi.

Empat remaja lain pula ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1978, kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Sebanyak 43 buah motosikal turut diperiksa ketika Op Pemantauan berkenaan.

Daripada jumlah itu 15 motosikal telah disita kerana pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Pada masa yang sama, kita juga telah menahan dua lelaki warga Indonesia ketika operasi sama.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati mereka ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut," katanya.