KUALA LUMPUR:Seorang lelaki ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya Op COVID-19 di Jalan Klang Lama, ibu negara, pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, kejadian berlaku pada 5.50 petang melibatkan suspek berusia 40 tahun yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi.

"Polis bertindak menahan suspek dan merampas kereta dipandunya.

"Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku cuai sewaktu memandu kerana menggunakan telefon bimbit dan memberikan alasan keluar rumah kerana mahu membeli makanan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.


Akibat kejadian tersebut papan tanda ‘Pemeriksaan Polis’ mengalami kerosakan.


Mengulas lanjut, Anuar berkata, akibat kejadian tersebut papan tanda ‘Pemeriksaan Polis’ mengalami kerosakan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil saringan air kencing adalah negatif.

Kata Anuar, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kerana kecuaian akan membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Orang ramai juga diseru untuk mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan," ujarnya.