PUTRAJAYA:Kerajaan mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (essential economic sector) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula Rabu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor berkenaan melibatkan bidang
  1. pengilangan dan pembuatan,
  2. pembinaan,
  3. perkhidmatan,
  4. perdagangan dan pengedaran, serta
  5. perladangan dan juga komoditi.

"Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan alat perlindungan diri (PPE).

"Selain itu sektor peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan turut dibenarkan beroperasi," katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan PKP di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan majikan masing-masing.

"Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan," katanya.


Lima sektor ekonomi (essential economic) perlu dibenarkan beroperasi

Mengulas lanjut beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector.

Kata beliau, MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

"Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa.

"Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.

"Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja," jelasnya.