KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bakal mengakibatkan lebih ramai usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) gulung tikar.

Menurut Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Danial Wong, ketika ini banyak rungutan dan aduan diterima pihaknya susulan aliran wang tunai yang terjejas dan semakin parah apabila PKP 3.0 dilaksanakan.

"Memang kita tidak nafikan bahawa pelaksanakan PKP ini akan mengakibatkan banyak PKS akan gulung tikar. Kita nampak banyak aliran tunai semakin terjejas, parah," katanya kepada Astro AWANI menerusi temu bual di Skype pada Khamis. 

Malah katanya, pembelian atas talian sejak dua minggu juga dilihat amat tidak menggalakkan. 

"Ia sangat tidak menggalakkan walaupun kita nampak gedung-gedung membeli-belah terdapat banyak orang yang membuat persiapan menjelang hari raya. Namun, dengan penutupan sektor-sektor peruncitan khususnya hari ini hingga hari ke-12, khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur, memang kita nampak terjejas.

"Malahan kita mendapat rungutan daripada ahli kita, di mana di hari Sabtu dan Ahad ramai yang telah menempah restoran untuk menyambut Hari Ibu. Saya sendiri khuatir bagaimana pihak restoran akan menghadapi cabaran sebegini sebab ramai antara mereka yang telah menempah barang makan seminggu awal sebelum Hari Ibu dan tempahan wang diterima. Maka ramai pelanggan akan mohon untul mengambil balik wang tempahan itu. Jadi, situasi di lapangan memang amat teruk pada hari ini," ujarnya. 

Bagaimanapun jelas Chris, pengusaha dan golongan usahawan tidak seharusnya menyalahkan kerajaan sepenuhnya apabila PKP 3.0 dilaksanakan.

Ia berikutan sikap sesetengah masyarakat yang tidak menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) menyebabkan kes COVID-19 semakin meningkat dalam negara, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan usahawan.