Pandemik COVID-19 sudah tentu mengubah norma kehidupan masyarakat seluruh dunia.

Sebelum ini, rata-rata pekerja swasta dan kerajaan setiap hari ke pejabat bagi menjalankan tugasan harian mereka.

Namun kini, norma itu dilihat mengalami perubahan drastik apabila dunia pekerjaan dalam talian kini menjadi pilihan terbaik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat, sektor swasta di negara ini dilihat lebih bersifat anjal dalam mengubah kaedah pekerjaan mereka.

Bagaimanapun, timbul persoalan, adakah penjawat awam bersedia untuk bekerja secara dalam talian?

Bagi memastikan ketersediaan kakitangan awam untuk meninggalkan kaedah manual apabila bekerja dari rumah, Adnan berkata kerajaan perlu menyediakan platform dalam talian yang komprehensif.

“Penjawat awam telah didedahkan untuk bekerja dari rumah sejak 2007. Tidak ada beza kerja di rumah dan kerja daripada pejabat.

“Apa yang penting ialah kemudahan minimum dan juga kelengkapan peralatan yang boleh disediakan dengan lebih awal untuk penjawat awam bekerja dari rumah.


“Platform atas talian perlu disediakan supaya produktiviti pekerja tersebut dapat ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Katanya kemudahan online tersebut penting dalam memastikan kesinambungan kerja kakitangan kerajaan sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat terjaga melalui perkhidmatan yang diberikan.

“Perkhidmatan pekerjaan tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan untuk rakyat dan negara.

“Penjawat awam perlu bekerja dari rumah dengan lebih efisen supaya perkhidmatan kerajaan tidak terputus dan rakyat dapat merasai perkhidmatan yang diberikan kerajaan.

“Jadi, kemudahan dalam talian yang minimum penting supaya perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat diteruskan tanpa sebarang halangan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata platform dalam talian mampu memudahkan perhubungan dan arahan sesama pegawai atau pihak atasan.

Meskipun kaedah bekerja dari rumah ini hanya dilaksanakan dengan sepenuhnya sepanjang PKP ini, namun inisiatif ini dijangkakan akan berterusan susulan tamatnya PKP.

Hal ini demikian supaya perhimpunan beramai-ramai dapat dielakkan selain memastikan pengamalan penjarakan sosial.

Oleh itu, penjawat awam perlu lebih bersedia untuk bekerja dalam talian apabila bekerja dari rumah untuk kelangsungan pentadbiran negara pasca-PKP.