KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bagi membantu rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa esok hingga 11 Jun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia merangkumi 15 langkah yang telah diputuskan kerajaan negeri dengan perbelanjaan RM1.4 bilion.

Jelasnya ia melibatkan sembilan langkah pembayaran tunai dan enam langkah pemberian diskaun.

"BKSS 6.0 akan memperuntukkan insentif kepada ketua isi rumah, golongan B40, petugas barisan hadapan, petugas media, pengusaha perkhidmatan pengangkutan, peniaga, pemain industri pelancongan.

"Antara pemberian diskaun membabitkan bil utiliti, sewa premis perniagaan, pengecualian sewa perumahan dan penyediaan bakul makanan," katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia Kuching pada Jumaat.

Kerajaan Sarawak sebelum ini telah melaksanakan lima Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang bernilai lebih daripada RM3.1 bilion telah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibayar secara 2 peringkat iaitu RM750 pada bulan Julai dan RM750 pada bulan Disember 2021 melalui Sarawak Pay.

Katanya, bantuan tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500 akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar di Sarawak.

"Kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kewangan secara one-off iaitu sekali sebanyak RM600 kepada 960 pengendali van penumpang, 1,980 pemandu teksi dan 740 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak.

"Bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off atau sekali kepada pemandu perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dan pengajar sekolah memandu. Pembayaran akan dibuat melalui aplikasi Sarawak Pay.

"Bantuan khas untuk agensi pelancongan berlesen, operator homestay berlesen, pemandu kenderaan pelancongan berlesen, pemandu pelancong dan pemandu pelancong taman negara yang berlesen akan menerima bantuan kewangan secara one-off,” tambahnya