KUALA LUMPUR: Kempen kesihatan mental perlu digerakkan dengan lebih berkesan selepas semakin ramai mengakui tertekan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia termasuklah dengan memperkasakan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025.

Tegasnya, sudah tiba masanya semua pihak termasuk rakyat memandang serius perkara ini dan sama-sama membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya juga ingin mengesyorkan bahawa pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berikan kerjasama kepada KKM untuk mengatur dan membuat lebih banyak program-program.

“Contohnya, seperti kita berbual mengenai minda sihat atau dalam Bahasa Inggeris memang ada kempen ‘Let’s Talk’, minta supaya pakar berkaitan kesejahteraan mental boleh dijemput untuk berbincang.

“Mereka juga boleh berkongsi padangan bagi tujuan untuk meningkat ilmu pengetahuan masyarakat berkaitan dengan isu kesihatan mental,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: PKP: Tertekan tiada kerja, suami kurung isteri, anak-anak dalam rumah

Tambahnya, usaha itu tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan atau organisasi bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

Sebaliknya, tegas beliau, masyarakat terutamanya rakan, saudara dan jiran terdekat juga perlu memainkan peranan sama.

“Saudara-mara atau kejiranan kalau ada sesiapa yang dapat mengenal pasti sahabat-sahabat mereka, saudara mereka yang misalnya ada menghadapi tekanan, ada menghadapi stres, isu kesihatan, mereka boleh bantu utk berbincang dengan mereka.

“Mereka boleh mendengar, apa yang paling penting adalah mendengar apa mereka suarakan dan berusaha sedaya upaya memberikan nasihat kepada mereka supaya tidak mengambil tindakan keterlaluan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan seorang suami yang mengurung isteri dan anak-anaknya kerana tertekan dengan PKP.