PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di seluruh negara tidak dilaksanakan kerana mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan B40, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata negara mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu serta menjejaskan peniaga kecil yang bergantung kepada pendapatan harian.

"Jika tutup lagi mereka tidak akan mempunyai pendapatan harian. Ketika PKP 1.0 kami mendengar rintihan keluarga terpaksa makan nasi dengan air garam sahaja untuk hidup.

"Ini merupakan satu perkara yang benar berlaku dalam kalangan rakyat terutama golongan miskin dan B40," katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkembangan PKP di sini pada Sabtu.

Katanya walaupun PKP penuh tidak dilaksanakan, pendekatan PKP Diperketatkan (PKPD) masih dilakukan secara bersasar di lokaliti dikenal pasti dengan segala aktiviti perniagaan tidak dibenarkan kecuali melibatkan keperluan harian.

Ditanya mengenai cadangan pendigitalan untuk permohonan kebenaran rentas negeri supaya lebih telus, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pematuhan SOP lebih berkesan.

Mengenai sekatan tambahan ke atas sektor sosial, Ismail Sabri berkata PKP 3.0 tidak membenarkan hampir semua aktiviti sosial termasuk acara rasmi kerajaan dengan kebenaran diberikan kepada aktiviti secara individu sahaja.

Menurutnya aktiviti sosial seperti beriadah masih dibenarkan namun ia perlu selaras dengan sektor ekonomi iaitu dihadkan sehingga 8 malam.

Ismail Sabri turut menyeru orang ramai supaya berdisiplin dengan mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak COVID-19.

Beliau berkata SOP akan dilonggarkan sekiranya kes menunjukkan penurunan namun jika tiada kawalan kendiri yang menyebabkan kes meningkat semula, SOP akan diperketatkan kembali.

"Jadi buka tutup, buka tutup ini akan berterusan. Yang lebih penting memastikan usaha (memutuskan rantaian jangkitan) yang dilakukan bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan dan Kementerian Kesihatan sahaja tetapi tanggungjawab semua sebagai rakyat," katanya.

-- BERNAMA