KUALA LUMPUR:Selepas beberapa negeri ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penurunan kes COVID-19, Kelantan pula dikenakan PKPB bermula 21 November ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Berdasarkan penilaian risiko KKM mendapati terdapat peningkatan kes di beberapa daerah dan mukim.

"Atas nasihat KKM, sidang khas bersetuju PKPB di seluruh negeri Kelantan selama dua minggu mulai 21 November sehingga 6 Disember 2020.

"Aktiviti agama akan ditentukan kerajaan negeri, dan berapa jumlah jemaah di masjid (yang dibenarkan hadir) adalah hak (kerajaan) negeri (untuk) menentukan," katanya.

BACA: PKPB di Kedah, Melaka, Johor, Terengganu ditamatkan kecuali beberapa daerah

Susulan itu, segala aktiviti termasuk ibadah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPB.


Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di K Avenue, Mega City di Penampang, Sabah bermula 22 November ini susulan peningkatkan kes COVID-19 direkodkan.

"Sehingga 16 November 2020, sebanyak 110 kes positif direkodkan di lokaliti ini, atas nasihat penilaian risiko, kita bersetuju melaksanakan PKPD di K Avenue, Mega City, Penampang, Sabah bermula 22 November sehingga 5 Disember 2020.

"Ia merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan seramai 400 penduduk," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu ditamatkan bermula hari ini, selepas mendapat nasihat KKM.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah bermula pada 24 Oktober sehingga 6 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 20 November 2020 (hari ini).

"KKM telah melaksanakan sebanyak 3,743 saringan dan sebanyak 89 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliiti ini. Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu pada hari ini, 20 November 2020 seperti yang dijadualkan," katanya lagi.