KUALA LUMPUR:Kerajaan menetapkan peraturan yang membenarkan maksimum empat orang satu meja apabila makan di restoran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kapasiti ini dibenarkan bergantung kepada saiz meja dan pelanggan masih perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

“Makan di dalam restoran dibenarkan tetapi tertakluk kepada syarat yang telah saya sebutkan baru-baru ini iaitu satu meja untuk dua orang.

“Jika meja itu besar, kami benarkan maksimum empat orang satu meja

“Pada peringkat awal PKPB, kami hanya benarkan dua orang atau maksimum empat orang, tetapi meja mesti dijarakkan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.


Tegasnya, prosedur operasi standard (SOP) di restoran tetap perlu dipatuhi.

Katanya, biarpun empat orang dibenarkan untuk duduk semeja, amalan penjarakan fizikal perlu diamalkan antara pelanggan yang berada di meja yang sama.

BACA: PKPB di Labuan mulai 17 Oktober, ini lima tumpuan sidang media PKPP

Bagaimanapun, beliau masih mengalakkan orang ramai untuk membeli makanan secarara pandu lalu, penghantaran atau take-away (bungkus) sahaja.

Sebelum ini, beliau berkata makan di premis makanan adalah dibenarkan namun ia terhad kepada dua orang satu meja dengan pematuhan SOP Sektor Makanan.