Minggu terakhir Ramadan biasanya menyaksikan Kompleks Pekan Rabu di Alor Setar sudah dipenuhi orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan termasuk kuih muih, serunding dan pakaian sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Namun keadaan amat berbeza pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB).

Ia sekali gus menyebabkan suasana di Pekan Rabu kali ini amat sunyi dan suram walaupun banyak perniagaan sudah mula dibuka semula dan larangan pergerakan orang awam dilonggarkan.

Tinjauan Astro AWANI di kompleks berkenaan mendapati rata-rata peniaga mengadu mengalami kerugian besar disebabkan ketiadaan pelanggan seperti biasa.

Antara peniaga terjejas, Zuriza Ali, 52, yang menjual serunding memberitahu hasil jualannya merosot hampir 70 peratus.

"Biasanya permintaan serunding amat tinggi bermula sebelum Ramadan lagi, tapi sekarang keadaan menjadi sebaliknya walaupun hari raya akan disambut tidak lama lagi.

"Kalau dulu, pesanan kepada pembekal dibuat dengan kerap, banyak kali pergi ambil bekalan. Tapi kali ini teruk, jual sekadar untuk tolong kawan sahajalah," katanya ketika ditemui.

Perniagaan serunding peniaga di Pekan Rabu menjelang Aidilfitri kali ini terjejas dengan teruk.

Seorang lagi peniaga serunding, Suria Hasan, berkata jualannya melebihi 100 kilogram (kg) menjelang Hari Raya Puasa setiap tahun, namun kali ini jauh berbeza.

"Biasanya setiap tahun jual dalam 100 kg tapi sekarang 50 kg pun tak sampai lagi... merosot teruk... Biasanya orang luar yang datang beli, macam orang yang balik kampung. Kalau orang tempatan kurang sikit sambutannya," katanya.

Jualan baulu turut terjejas akibat pandemik COVID-19.

Roshani Razak, 45, yang menjual baulu turut menerima nasib sama apabila jualannya tidak langsung mencecah separuh daripada kebiasaan 1,000 bekas yang dijual setiap kali menjelang Syawal.

"Sejak PKPB dikuatkuasakan dan kami dibenarkan berniaga semula, hampir semua pelanggan saya adalah orang tempatan. Sebelum ini ramai orang luar datang, tapi sekarang sudah tidak boleh, ini menyebabkan jualan merudum," katanya.