Gabungan persatuan pendandan serta jurugaya rambut dari seluruh negara merayu kerajaan supaya mempertimbangkan memberi kebenaran sektor itu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Wakil gabungan berkenaan, Bambang Soteto yang juga Presiden Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera (BHA), berkata mereka telah berbincang dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang teliti untuk dibentangkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kami melakukan perbincangan melalui platform digital baru-baru ini dan menyediakan SOP untuk diserahkan kepada MITI dalam usaha mendapatkan kebenaran beroperasi.

"Memang SOP ini mungkin agak keterlaluan, macam di hospital, tetapi kami sanggup lakukan demi mendapat perhatian kerajaan untuk memberikan kelonggaran bagi sektor kami beroperasi semula," kata Bambang ketika ditemu bual dalam program Normal Baharu oleh Rancak TV, pada Khamis.

Antara SOP yang dicadangkan termasuk mewajibkan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka dan pelindung muka bagi semua kakitangan, selain menyahkuman peralatan sebelum dan selepas digunakan bagi setiap pelanggan.



Selain BHA, gabungan persatuan itu termasuk Persatuan Pendandanan Rambut, Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Pengembangan Kemahiran Pendandan Rambut Malaysia, Persatuan Pemerkasaan Gaya Rambut India Malaysia, Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera dan Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia.

Menurut Bambang yang juga pemilik Hairkunst Salon, hampir semua pendandan dan jurugaya rambut di seluruh Malaysia terjejas kerana tidak dapat menjana pendapatan selama hampir dua bulan sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Pendapatan pendandan rambut dan tukang gunting rambut datang daripada jualan dan perkhidmatan dan apabila tiada jualan, 50 hingga 70 peratus hasil jualan dan komisen tiada untuk bayaran pekerja serta sewa kedai”, ujarnya lagi.

Dalam pada itu, tambah Bambang, keadaan lebih merumitkan apabila bantuan dana kerajaan tidak mencukupi bagi menampung kos perniagaan dan sara hidup pekerja dan pemilik perniagaan dalam sektor berkenaan.

Pada 12 Mei lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar berkata, perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan kerana tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang PKP.

Larangan itu termasuk perkhidmatan gunting di rumah pelanggan.

BACA: Kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi

BACA: Operasi kedai gunting rambut: Ada proses permohonan, tak semestinya diterima