Walaupun usaha memerangi COVID-19 sudah pun melihatkan keberkesanannya, kerajaan mengambil keputusan untuk terus menguatkuasakan larangan perjalanan merentas sempadan negeri sempena musim perayaan ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan itu kekal berkuatkuasa sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti menziarahi jiran dan keluarga yang berada dalam negeri yang sama dibenarkan, dengan syarat mereka kekal mematuhi displin sosial dalam normal baharu dan tidak berhimpun melebihi 20 orang pada satu masa.

“Dalam tempoh (PKPB) ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam perutusan khas di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup.

"Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” katanya lagi.