Skip to main content

Malaysia

PKPB: Polis atur semula lokasi sekatan jalan raya - KPN

51585531339_SekatanPolis.jpg
Sebahagian lokasi sekatan jalan raya di seluruh negara akan diatur semula ke lokasi lebih strategik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

"Sebahagian sekatan jalan raya ini akan dirombak dan dialihkan ke lokasi strategik termasuk bagi menyekat (kemasukan) pendatang tanpa izin,” katanya ringkas kepada Bernama.

Abdul Hamid turut berkata pasukan pemantau akan ditambah bagi memastikan orang ramai mematuhi jarakan sosial.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan outdoor (luar) seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.


-- BERNAMA



Advertisement

Must Watch Video